KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) perlu berhati-hati dalam memutuskan sama ada laporan daripada badan itu harus didedahkan atau tidak.
Jelas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad laporan CEP adalah di bawah bidang kuasa kerajaan dan menjadi urusan rasminya, maka semua ahli majlis itu dan pegawai terbabit secara langsung tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Tambahnya, hasil kajian badan itu juga memerlukan siasatan daripada pihak berkuasa berkaitan demi mengelak sebarang polemik tercetus.
“CEP hanya berperanan sebagai badan penasihat dan kerajaan perlu berhati-hati dalam memutuskan sama ada laporan itu wajar didedahkan atau tidak kerana beberapa dapatan mereka memerlukan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Ini bertujuan mengelak polemik yang boleh menjejaskan hasil siasatan dan keyakinan pelabur, apa yang penting cadangan penambahbaikan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.
Sehubungan itu beliau berkata, laporan CEP tidak akan didedahkan kepada umum buat masa ini.
“Soal sama ada kita boleh mendedahkan laporan CEP, belum sampai masanya, mungkin masa depan apabila sudah ambil tindakan dan tidak lagi berkemungkinan dikenakan saman malu,” tambahnya.
Fahmi bertanyakan adakah kerajaan sedia mempertimbangkan untuk menerbitkan laporan CEP berdasarkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan kebebasan maklumat demi mengelak fitnah dan persepsi tidak betul, terutama apabila orang ramai mengetahui OSA pernah disalah guna pentadbiran terdahulu untuk menyembunyikan salah laku. – MalaysiaGazette
















