Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR- Kerajaan membuat keputusan mengikut prosedur yang betul ketika meratifikasi Statut Rom tanpa melalui Parlimen.

Jelas Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, mengikut peruntukan perlembagaan, jemaah menteri diberi kuasa untuk menandatangani perjanjian antarabangsa dan sehingga kini terdapat lebih seratus perjanjian dan konvensyen antarabangsa diratifikasi tanpa melalui proses Parlimen.

Tegasnya, perkara itu juga tidak perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja kerana ia tidak melibatkan perkara-perkara yang ditentukan oleh Perlembagaan untuk dirujuk dan tiada pindaan Perlembagaan diperlukan.

“Isu Statut Rom – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ini melibatkan dua perkara iaitu perundangan dan proses Jemaah Menteri membuat keputusan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Dari segi perundangan, kerajaan berpendirian bahawa menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah keputusan yang tepat kerana ia mengukuhkan iltizam Malaysia dalam menegakkan keadilan di persada antarabangsa serta manfaatnya kepada negara.

“Kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terpelihara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut Saifuddin, terdapat pihak yang sengaja menyalah tafsir Statut Rom termasuk berhubung merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja dengan memberikan nasihat atau pendapat yang tidak tepat serta mengenepikan hujah yang rasional.

Pihak itu juga katanya, sengaja memainkan emosi dengan menakut-nakutkan orang ramai sehingga menimbulkan kekeliruan dan salah faham demi mencapai matlamat politik.

Tambah beliau lagi, ini kerana pihak terbabit mempunyai niat untuk menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.- MalaysiaGazette