Anthony Loke
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura akhirnya menamatkan pertikaian berhubung ruang udara kedua-dua negara sekaligus bakal menyaksikan syarikat penerbangan Firefly meneruskan operasi di republik berkenaan.

Anak syarikat Malaysia Airlines itu terpaksa menggantung operasinya di Singapura sejak 1 Disember lalu apabila gagal mendapat kelulusan kerajaan untuk memindahkan operasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi ke Seletar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan rakan sejawatnya di Singapura, Khaw Boon Wan dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, Singapura bersetuju untuk menarik balik prosedur Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar manakala Malaysia pula akan mengantung Kawasan Larangan (RA) Pasir Gudang.

Perjanjian tersebut katanya, telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa penerbangan awam kedua-dua negara pada jam 11.59 malam tadi.

Dalam satu kenyataan itu memaklumkan, Jawatankuasa Tertinggi telah ditubuhkan bagi menyemak semula Surat Perjanjian Operasi di antara Kuala Lumpur dan Singapura Pusat Kawalan Kawasan Yang Melibatkan Ketibaan, Pelepasan dan Penerbangan Singapura 1974.

“Dengan perjanjian tersebut, syarikat penerbangan Firefly boleh meneruskan operasinya ke Lapangan Terbang Seletar bermula bulan ini.

“Kedua-dua menteri kewangan mengalu-alukan langkah positif berkenaan dan berhasrat untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala,” kata kenyataan tersebut.

Pertikaian berhubung ruang udara itu timbul Disember tahun lalu apabila Singapura mengumumkan keputusannya untuk melaksanakan ILS bermula 3 Januari lepas yang mana Malaysia mendakwa ia dilakukan tanpa sebarang perjanjian.

Kerajaan Malaysia pula menuntut semula ruang udaranya di selatan Johor yang digunakan Singapura sejak 1974 secara berfasa di antara 2019 sehingga 2023.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast