Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kepimpinannya yang keliru dengan ratifikasi Statut Rom bukan rakyat.

Itu tegas peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang menyifatkan tindakan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sengaja mencabar institusi raja.

“Sebenarnya bukan isu rakyat terkeliru semalam. Mahathir cakap rakyat dikelirukan, bukan. Ini bukan isu rakyat terkeliru.

“Ini isu kau buat sesuatu tanpa minta perkenan Majlis Raja-Raja sedangkan dalam Perlembagaan kata, kau kena minta perkenan dahulu baru kau boleh buat (ratifikasi Statut Rom), itu sebenarnya. Ini bukan isu rakyat dikelirukan.

“Keliru apa, dalam Perlembagaan jelas ditulis macam itu, kau yang keliru, benda ini ada dalam Perlembagaan,” katanya pada Forum Statut Rom: Pengkhianatan Negara dan Raja-Raja Melayu di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

MGF06042019_Statut Rome PWTC_02
Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berucap pada Forum Statut Rom mengenai Pengkhianatan Negara dan Raja Melayu di Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 APRIL 2019

Semalam, kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan.

Mahathir berkata, ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan khususnya beliau selaku Perdana Menteri.

Katanya, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari sama.

Perdana Menteri turut kecewa apabila ada pihak cuba mengheret institusi raja untuk menentang kerajaan yang didakwa kononnya mahu menyerahkan kuasa kepada negara luar dan menghakis hak serta kekebalan Raja-Raja Melayu.

“Kita tahu (isu) dipolitikkan oleh pihak tertentu yang tujuannya mahu institusi Raja menentang kerajaan sekarang. Sesetengah anggota kerabat diraja mungkin terbabit, tetapi keseluruhan rancangan ini adalah supaya kerabat diraja di Malaysia menentang kerajaan sekarang. Itulah motifnya.

“Disebabkan kekeliruan ini, kami membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf statut berkenaan. Bukan kerana kita fikir ia berbahaya, tetapi kerana dipolitikkan. Mereka cakap jika kita tandatangan, kita akan hilang kebebasan, dasar dan undang-undang di negara kita. Ini tak benar.

“Yang benar, kalau kita keterlaluan buat sesuatu yang amat buruk dan tak betul, seluruh dunia akan kutuk kita, sama ada kita tandatangan (Statut Rom) atau sebaliknya,” katanya. -MalaysiaGazette