Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang menghulurkan bantuan sebanyak RM8,000 kepada keluarga Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru pada awal pagi ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan tersebut merupakan bantuan awal yang diberikan bagi meringankan beban kepada keluarga mangsa.

”Insya-Allah seperti biasa kerajaan negeri akan membantu yang mana perlu dan menjadi tanggungjawab kita dan ini satu kejadian berita sedih untuk rakyat Pahang.

”Bantuan akan diserahkan kepada keluarga, bantuan awal akan diserah oleh pegawai pada malam ini.

”Bantuan RM3,000 daripada saya sendiri manakala RM 5,000 daripada kerajaan negeri Pahang,” katanya selepas merasmikan Pejabat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia(PKBM) Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.54 pagi, dua pegawai polis maut setelah diserang seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang bersenjatakan parang dan merampas dua laras senapang.

Kedua-dua mangsa, Muhamad Syafiq ketika betugas dilaporkan ditembak di bahu dan perut manakala Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar cedera ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.

Semenatara itu Wan Rosdy berharap PKBM dapat membantu kontraktor Bumiputera meningkatkan kualiti kerja, mematuhi standard yang ditetapkan serta menguasai teknologi terkini

Menurutnya, inisiatif penubuhan persatuan itu akan memberi impak positif kepada kontraktor-kontraktor tempatan serta menyumbang kepada kemakmuran Pahang. – MalaysiaGazette