PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berdepan kekangan peruntukan apabila permohonan sebanyak RM14.39 bilion bagi pembangunan menerusi Rolling Plan Kedua 2027 hanya menerima siling bayangan sekitar RM8.3 bilion.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, keadaan itu mewujudkan jurang hampir RM6 bilion antara jumlah yang diperlukan kementerian dengan peruntukan yang dijangka diterima.
Ujarnya, perkara itu antara cabaran yang perlu dihadapi kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan terus dilaksanakan ketika berdepan ruang fiskal yang terhad.
“Baru-baru ini, kita mengadakan sesi penyelarasan bersama Kementerian Kewangan (MOF), termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Pengarah Belanjawan, bagi menerangkan keutamaan kementerian serta mengemukakan beberapa cadangan untuk pertimbangan.
“Bagi Rolling Plan Kedua 2027, siling bayangan peruntukan pembangunan kita adalah sekitar RM8.3 bilion, itu bayangan yang mereka berikan, sedangkan permohonan KKDW mencecah kira-kira RM14.39 bilion, ertinya jurang kekurangan sekitar RM6 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, keadaan itu perlu dilihat sebagai gambaran realiti pengurusan kewangan kerajaan pada masa ini, khususnya apabila ruang fiskal tidak lagi sebesar beberapa tahun lalu.
Justeru katanya, KKDW perlu memastikan setiap peruntukan yang diterima digunakan secara optimum supaya manfaat dan impaknya kepada rakyat dapat dimaksimumkan.
“But I hope I am wrong (saya harap saya silap). Namun, berapa pun jumlah yang akhirnya kita terima, kita mesti melihat belanjawan bukan sekadar sebagai proses membahagikan peruntukan.
“Belanjawan ialah proses menukar sumber yang terhad kepada nilai awam yang paling besar kerana dalam ekonomi, setiap keputusan mempunyai opportunity cost,” ujarnya.
Beliau menegaskan, belanjawan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai proses mengagihkan wang, sebaliknya sebagai usaha menukarkan sumber yang terhad kepada nilai awam yang paling tinggi.
Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab memastikan penggunaan setiap ringgit secara berkesan bukan hanya terletak pada Bahagian Kewangan dan Perolehan usaha itu perlu dipikul bersama oleh semua bahagian, jabatan serta agensi di bawah KKDW.
“Sekarang kita mesti bertanya, adakah masalah yang mahu diselesaikan masih wujud? Adakah pendekatan yang digunakan masih relevan? Adakah terdapat pertindihan dengan program atau agensi lain?
“Dan yang paling penting, adakah hasil yang dicapai benar-benar setimpal dengan sumber yang dibelanjakan?” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, dalam situasi kekangan sumber, kecekapan tidak bermaksud sekadar mengurangkan perbelanjaan sebaliknya peruntukan perlu disusun semula secara lebih strategik dengan mengurangkan pembiayaan terhadap perkara yang memberi nilai rendah kepada inisiatif yang mampu menyelesaikan permasalahan rakyat secara lebih berkesan. – MalaysiaGazette
















