Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza menunjukkan kertas Karnival Mahabbah 1.0 semasa sesi fotografi selepas pada sidang media sempena Karnival Mahabbah 1.0 di The Pearl Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Karnival Mahabbah 1.0 memilih Datuk Seri Siti Nurhaliza menjayakan persembahan makan malam kerana berdasarkan latar belakang penyanyi popular itu yang menjadi tarikan semua golongan.

Pengarah Program, Mohd. Hadzullah Ahmad Tahir yang juga Imam Utama Masjid Muhibbuddin Shah berkata, pihaknya telah bertanya pendapat ramai orang sebelum itu.

Jelas beliau, tinjauan dibuat bertanya siapa artis wanita yang dekat dengan jiwa Islam dan kurang kontroversi.

“Nama Siti yang disebut dan kita pilih beliau. Lagipun, berdasarkan latar belakang, tarikan peminat, artis yang disukai semua peringkat, Siti memang pilihan tepat. Malah, ustaz-ustaz pun minat.

“Alhamdulillah, Allah swt memudahkan perancangan ini. Siang malam kami fikir macam mana mahu ‘pinang’ Siti.

“Kita dapat berhubung dengan pengurus Siti dan berjumpa di masjid. Kebetulan dia ahli qariah kita. Jadi, senang pinang Siti Nurhaliza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Karnival Mahabbah 1.0 di sini baru-baru ini yang turut dihadiri Siti.

Selain penyanyi lagu Anta Permana itu, makan malam amal turut melibatkan kumpulan Hijjaz.

Tujuan majlis itu antara lain untuk mengumpul dana bagi menampung program pengimarahan masjid.

Karnival anjuran Masjid Muhibbuddin Shah di Ipoh, Perak itu  bakal berlangsung selama lima hari bermula 24 hingga 28 April ini.

Majlis makan malam itu bakal berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 24 April ini.

Sementara itu Siti pula menganggap satu hikmah dan keberkatan apabila disukai dan disayangi ramai orang.

“Syukur alhamdulillah apabila kita dihargai oleh insan yang saya panggil ulama. Bagi saya, ia satu hikmah dan keberkatan apabila orang sayang dan suka kita. Saya anggap ia hadiah yang cukup istimewa,” kata wanita berusia 40 tahun itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast