Harris Fadzillah Hassan
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Bhd. mencatatkan prestasi perladangan yang lebih baik bagi suku pertama 2019 didorong oleh usaha-usaha transformasi kumpulan termasuk pengurusan perladangan dan kaedah pemindahan hasil.

Bagi suku pertama 2019, FGV merekodkan peningkatan pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 6.6 peratus kepada 1.06 juta tan metrik daripada 23 wilayah berbanding sebanyak 990,845 MT yang dihasilkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Syarikat perladangan sawit terbesar Malaysia itu juga telah memproses sejumlah 3.67 juta tan metrik BTS menerusi 68 buah kilangnya, meningkat sebanyak 8.3 peratus berbanding 3.39 juta tan metrik yang diproses pada 2018.

Manakala kadar perahan minyak (OER) untuk tempoh tiga bulan pertama 2019 juga menunjukkan peningkatan 20.76 peratus daripada 19.7 peratus malah turut meningkat sebanyak 5.1 berbanding tiga bulan pertama 2018.

FGV menghasilkan sejumlah 761,832 tan metrik minyak sawit mentah  (MSM)  pada  suku pertama 2019 berbanding 669,534 tan metrik untuk tempoh sama pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Haris Fadzillah Hassan berkata, petunjuk indikator prestasi utama (KPI) operasi kumpulan  yang dipantau setiap hari telah menunjukkan penambahbaikan serta mengatasi sasaran dalaman yang telah disandarkan kepada industri.

Ini dengan mengambil kira potensi hasil ladang  dan  jangka masa yang diperlukan untuk pemulihan ladang-ladang.

“Kumpulan sedang bergerak ke fasa seterusnya dalam pelaksanaan Pelan Transformasi, kami jangka prestasi operasi akan terus diperkemaskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, usaha tanam semula Kumpulan berada di landasan betul dan sebanyak 17,250 hektar ladang dengan profil umur tua akan ditanam semula pada tahun kewangan kali ini.- MalaysiaGazette