SHAH ALAM – Seorang jurutera kilang tidak menyangka makan malam bersama keluarganya ‘membawa rezeki’ apabila memenangi sebuah kereta Toyota C-HR bernilai RM150,000 menerusi cabutan bertuah sempena Kempen Kereta Untuk Abah di sini baru-baru ini.
Lebih menggembirakan, Mohd. Ariffin Ahmad, 51, hadiah tersebut hadir selepas menjamu selera di restoran Pak Tam Sri Corner dengan berbelanja hanya RM69 sahaja.
Jelasnya, dia dan empat anaknya sering berkunjung ke restoran yang terletak di Gombak itu.
“Sebulan sekali saya dan keluarga mesti menjamu selera di Pak Tam Sri Corner dan saya hanya berbelanja RM69 ketika itu yang melayakkan saya menyertai cabutan bertuah sempena Kempen Kereta Untuk Abah.
“Syukur kepada Allah, ini rezeki isteri dan anak-anak saya. Saya adalah pelanggan setia dan ia berbaloi kerana memenangi sebuah kereta,” katanya ketika ditemui selepas majlis cabutan bertuah itu di sini baru-baru ini.
Hadiah tersebut telah disampaikan oleh Presiden Kempen Kereta Untuk Abah, Mohd. Aminurayid Mohd. Fauzi.
Mengulas lanjut, Mohd. Ariffin memberitahu, dia tidak akan menjual kereta tersebut kerana sudah mempunyai sebuah kereta sebelum ini.
“Saya akan berikan kepada isteri untuk gunakan kereta ini secara bergilir-gilir dengan saya. Saya mungkin tidak jual kereta ini,” katanya.
Sementara itu, Kempen Kereta Untuk Abah merupakan kempen pemasaran hasil cetusan idea dan kolaborasi seramai 25 usahawan perusahaan kecil dan sederhana daripada pelbagai latar bidang perniagaan.
Menerusi kempen ini, usahawan terlibat telah menawarkan jenama produk masing-masing dan yang berlangsung selama enam bulan bermula September 2018 sehingga Februari lalu .
Ia juga merupakan satu inisiatif untuk mendidik para usahawan dalam memberi manfaat kepada komuniti dan menghargai ibu bapa mereka.
Sebuah kereta Toyota C-HR menjadi hadiah utama dalam kempen ini di samping hadiah saguhati selain hadiah bulanan.
Pak Tam Sri Corner merupakan antara 25 usahawan yang terlibat dalam Kempen Kereta Untuk Abah itu. – MalaysiaGazette