Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali bersalaman dan beramah mesra dengan Calon PH, Dr. S. Streram (kiri) pada Ceramah Umum Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pekan Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 08 APRIL 2019.

SEREMBAN – “Saya hairan mengapa pemuda UMNO tidak mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ketika Barisan Nasional masih memerintah sebelum 9 Mei 2018.

Itu reaksi Datuk Seri Mohamad Azmin Ali apabila ditanya cadangan Pemuda UMNO yang mahu kerajaan Pakatan HarapanĀ  menubuhkan RCI untuk menyiasat Tabung Haji dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam institusi kewangan Islam itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, penyelewengan dalam Tabung Haji telah pun ditegur oleh Bank Negara Malaysia.

“Mengapa tatkala itu Pemuda UMNO enggan bersuara dan mendesak penubuhan RCI terhadap kerajaan terdahulu.

“Mengapa pula apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil satu tindakan yang berani menyatakan yang benar kepada pendeposit, Pemuda UMNO tampil untuk menjadi juara dalam perkara ini,” kata beliau apabila ditanya sama ada cadangan RCI itu perlu dipertimbangkan atau usaha kerajaan sedia cukup memadai untuk memulihkan TH.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri ceramah Kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau, Negeri Sembilan malam tadi.

Calon PH, Dr. S. Streram, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Menteri Kerja Raya, Baru Bian, dan Naib Presiden PKR, THian Chua hadir ke ceramah di Pasar Lama Taman Pasir Mas, Pekan Rantau.

Katanya, walaupun itu sekadar cadangan Pemuda UMNO, langkah kerajaan adalah untuk berterus terang kepada pendeposit pendeposit Tabung Haji kerana apa yang berlaku dalam beberapa tahun yang lalu.

Menurut beliau, dalam keadaan aset kurang daripada liabiliti, pengurusan Tabung Haji masih lagi membayar dividen kepada pendeposit-pendepositnya.

Tindakan itu sebenarnya amat bertentangan dengan Enakmen Akta Tabung Haji sendiri kerana dividen dibayar hanya apabila sesebuah syarikat itu meraih keuntungan.

“Bagaimana dividen dibayar dalam keadaan sebuah syarikat itu sudah mengalami kemerosotan daripada segi nilai aset.

“Apa yang berlaku kemungkinannya menggunakan wang pendeposit unutk membayar dividen.

“Namun kerajaan hari ini mengambil sikap terbuka dan berterus terang untuk melindungi dan menjaga kepentingan pendeposit.

“Ini yang ditegaskan oleh Menteri bahawa deposit yang disimpan oleh pendeposit dalam Tabung Haji dijamin sepenuhnya kerajaan.

Cuma dividen itu kita harus berterus terang, Kita tidak mampu untuk membayar daripada apa yang telah diumumkan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette