Pegawai Staf 1 Bantuan, Kamarudin Kassim merupakan pengundi pertama yang melaksanakan kewajipan pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pengkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 09 APRIL 2019.

SENDAYAN – Proses undian awal di Pangkalan Udara (PU) Sendayan berjalan lancar sebaik pintu pusat mengundi di Dewan Angkasa Raya dibuka jam 8 pagi tadi.

Pusat pengundian awal ini merupakan salah satu daripada dua pusat pengundian yang dibuka sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ini dengan sebuah lagi dibuka di Balai Polis Rantau.

Difahamkan 70 pengundi daripada 74 pengundi selesai menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Jumlah itu adalah daripada keseluruhan jumlah pengundi awal 118 orang pengundi awal yang dijadual mengundi hari ini.

Ia terdiri daripada pegawai dan lain-lain pangkat serta pasangan yang mengundi di Dewan Angkasa Raya di Pangkalan Udara Sendayan.

Kedua-dua pusat pengundian awal tersebut itu ditutup pada pukul 12 tengah hari ini.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, Timbalan Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal sejak 2004, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah. -MalaysiaGazette