Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk memberi bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion kepada Felda dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, bantuan tersebut akan diberikan secara berperingkat mengikut keperluan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meringkan beban kewangan agensi tersebut dan peneroka.

Kerajaan juga katanya, bersetuju untuk menghapuskan kadar faedah di atas Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil yang dibebankan kepada peneroka dengan bantuan berjumlah RM2 bilion.

“Untuk membiayai Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil, Felda terpaksa menanggung kos kewangan yang besar melalui pinjaman dari institusi kewangan yang mengenakan kadar faedah di antara empat hingga enam peratus.

“Kerajaan lama memindahkan kos ini kepada peneroka dengan mengenakan kadar faedah efektif sebanyak 3.8 peratus di atas Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil.

“Kerajaan Pakatan Harapan telah berjanji untuk menghapuskan hutang tidak wajar bagi meringankan bebanan kewangan peneroka,” katanya ketika berucap membentangkan Kertas Putih Felda di Parlimen, hari ini.

Bagi meringankan bebanan hutang peneroka kerajaan akan memperkenalkan skim pengurusan aset canggih (SPAC) menggantikan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil.

Melalui skim baharu ini menurut Azmin, peneroka akan menerima pinjaman yang bersesuaian berdasarkan pendapatan mereka.

“Cadangan skim baharu ini sedang diteliti secara mendalam termasuk libat urus dengan peneroka-peneroka.

“Sementara proses ini sedang berjalan, Felda akan meneruskan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil mengikut kadar sedia ada,” jelasnya.

Bagi tahun 2019, Kerajaan telah meluluskan sejumlah RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast