Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac foto IQBAL BASRI, 11 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu, Datuk Hans Isaac mengambil keputusan untuk berhenti berlakon sepanjang dua tahun memegang jawatan tersebut.

Hans, 48, juga akan berkorban untuk tidak akan mengarah, menerbitkan drama dan filem sepanjang tempoh tersebut.

Bagaimanapun memberitahu bagi produksi teater, beliau perlu berbincang dengan beberapa pihak kerana terdapat satu projek yang belum diselesaikan.

“Saya tidak akan terima tawaran berlakon. Takkan Pengerusi Finas berlakon nanti. Saya tidak mahu campur aduk dan perlu berlaku adil kepada semua penggiat dalam industri.

“Syarikat produksi saya, Tall Order juga tidak ada kaitan apa-apa dengan Finas selepas ini,” katanya pada sidang media khas di pejabat Finas di sini hari ini.

MGF11042019_PC FINAS_06
Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac hadir bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham pada sidang media mengenai lantikan baharu pengerusi FINAS di Finas Hulu Kelang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 APRIL 2019.

Semalam Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelantikan Hans atau nama penuhnya Gerald Hans Isaac sebagai Pengerusi Finas bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April lalu.

Beliau menggantikan Datuk Samsuni Mohd. Nor yang telah menjalankan tugas sebagai pemangku pengerusi Finas selama lebih empat bulan yang lalu.

Mengulas lanjut, Hans berkata, keutamaannya ketika ini  mewujudkan sistem caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi semua penggiat industri.

Jelasnya, ia bukan sahaja melibatkan golongan pelakon dan pengarah tetapi termasuk jurumekap, kru dan runner.

“Kita akan paksa untuk membayar KWSP dan Perkeso di pelan skim sudah ada dan akan diumumkan kemudian. Ia penting bagi meringankan beban ditanggung oleh anak seni selepas mereka hilang punca pendapatan di hari tua atau ditimpa musibah,” tegasnya.

Sebelum dilantik, Hans ketika menjalani sesi temuduga membentangkan 15 manifesto sebagai perancangan perubahan dalam industri sekiranya menjawat jawatan Pengerusi Finas.

Sementara itu, beliau juga berpengalaman luas dalam bidang perfileman dan terkenal sebagai seorang pelakon, penerbit dan pengarah filem.

Beliau juga pernah menerima pelbagai anugerah dalam industri perfileman tempatan dan Pengarah Urusan Social 360 Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang terbabit dalam bidang keselamatan dan insurans.

Hans juga pernah menjadi Ahli Lembaga Penasihat Finas dan Ahli Lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada tahun 2012.

Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Institute of Commerce, Singapura dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel dari Kolej Stanford, Malaysia.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/10/hans-isaac-dilantik-pengerusi-finas/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast