Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berucap pada Majlis Pelancaran Program Gotong-Royong Perdana Basmi Denggi KPKT 2019 di Padang Awam Taman Kosas, Ampang, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 APRIL 2019

AMPANG – Rakyat mengalami ‘political cultural shock’  dan masih belum jelas dengan perubahan yang ingin dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) semenjak pertukaran kerajaan 10 bulan yang lalu.

Demikian kata Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin ketika ditanya kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang berlangsung semalam.

Namun Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yakin situasi tersebut hanya bersifat sementara.

Zuraida dalam masa yang sama menafikan tindakan PH mempertandingkan semula  Dr Streram di kerusi itu sebagai faktor kekalahan mereka

“Saya ingat bukan faktor calon, keadaan sekarang untuk pertama kali di Malaysia sebuah kerajaan baharu ambil alih 10 bulan yang lepas.

“Kerajaan baharu yang mengambil alih berdepan dengan banyak PRK-PRK ini PRK ketujuh dan Sandakan akan ke lapan.

“Pada saya ia satu keadaan rakyat Malaysia dalam keadaan political cultural shock, pemindahan kuasa tak selesai lagi, ada PRK dan sebagainya. Jadi ini fenomena sementara.

“Belum lagi stabil di peringkat politik. Bila masanya keadaan politik lebih stabil, dan kabinet lebih stabil, pemerintahan lebih stabil, dan rakyat akan mula melihat apakah perubahan-perubahan yang akan dilaksanakan dengan lebih jelas.

“Sekarang mereka (rakyat) belum lagi nampak dengan jelas apa perubahan-perubahan yang kita nak buat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Gotong-royong Perdana Basmi Denggi Sempena Karnival Komuniti KOKT 2019 di Pangsapuri Ampang Mewah hari ini.

Beliau juga yakin, Pakatan Harapan tetap bertahan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam PRK semalam Dr Streram yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau memperoleh 5,887 undi berbanding Timbalan Presiden UMNO Datuk Mohamad Hassan yang mendapat 10,397 undi. – MalaysiaGazette