Jack Ma

BEIJING – Pengasas Kumpulan Alibaba, Jack Ma mempertahankan budaya kerja lebih masa yang dilaksanakan oleh kebanyakan syarikat teknologi di China dengan menyifatkannya sebagai “rahmat besar” kepada pekerja muda.

Dalam ucapannya kepada pekerja-pekerja Alibaba, bilionair tersebut mempertahankan budaya kerja “996” yang merujuk kepada waktu kerja 9 pagi sehingga 9 malam, enam hari seminggu.

“Secara peribadi saya rasa, kemampuan untuk bekerja 996 adalah satu rahmat.

“Banyak syarikat dan ramai orang yang tidak mempunyai peluang untuk bekerja 996.

“Jika anda tidak bekerja 996 semasa muda, bila anda boleh bekerja 996?,” katanya dalam satu nota yang dipamerkan dalam akaun WeChat syarikat.

Isu tersebut telah menimbulkan debat atas talian dan protes kepada sesetengah platform pengkodan yang mana para pekerja bertukar-tukar verita mengenai permintaan melampau untuk bekerja lebih pada di sesetengah syarikat.

Ma, yang merupakan bekas guru Bahasa Inggeris menjadi pengasas bersama Alibaba pada 1999 berkata, beliau dan kakitangan perintisnya sering bekerja pada tempoh yang panjang.

“Dalam dunia ini semua orang mahu berjaya, mempunyai kehidupan yang selesa dan dihormati.

“Saya hendak bertanya, sekiranya anda tidak mengorbankan lebih banyak masa dan tenaga daripada orang lain, bagaimana anda hendak mencapai kejayaan?” soal lelaki yang tersenarai antara terkaya di China itu.

Menurut Ma, ada orang yang tidak mempunyai pekerjaan langsung dan ada pekerja yang sedang berhadapan kemungkinan syarikat mereka akan ditutup.

“Jika dibandingkan dengan mereka, sehingga ke hari ini saya masih berasa bertuah.

“Saya tidak menyesal bekerja 12 jam sehari dan tidak akan mengubah perkara ini,” katanya.

Pada bulan ini, aktivis laman web pengkodan atas talian, Microsoft GitHub melancarkan projek bertajuk “996.ICU” yang mana pekerja teknologi menyenaraikan Alibaba sebagai salah sebuah syarikat yang memiliki persekitaran kerja terburuk.

Pada Khamis lalu, sebuah akhbar menerbitkan surat pembaca yang mengatakan 996 telah melanggar Undang-Undang Buruh China yang mengatakan purata jam bekerja tidak boleh melebihi 40 jam seminggu.- Agensi