Menteri Pengangkutan, Anthony Loke melakukan pemeriksaan barisan pada Majlis Sambutan Hari JPJ Ke-73 di perkarangan Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 APRIL 2019.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan bidaan nombor pendaftaran kenderaan menerusi sistem JPJeBid bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, nombor pendaftaran ‘FC’ (Putrajaya) dijadikan perintis bidaan nombor pendaftaran kenderaan di atas talian menerusi JPJeBid tersebut.

Katanya, sistem berkenaan dilancarkan sempena Sambutan Hari JPJ Ke-73 yang disambutdi seluruh negara hari ini.

“Bidaan ini akan berlangsung selama lima hari iaitu sehingga Jumaat 19 April 2019 jam 11.59 malam dan keputusan rasmi pemenang akan diumumkan pada keesokan harinya iaitu 20 April 2019 jam 12 tengahari,” katanya semasa berucap sempena sambutan Hari JPJ di tempat letak kereta awam hadapan Kementerian Pengangkutan Jalan hari ini.

Menurut Anthony, ia dibuka kepada orang awam warga Malaysia dan penduduk tetap berusia 18 tahun dan ke atas serta perniagaan dan syarikat yang berdaftar.

“Pendaftarannya telah dibuka mulai 12 April ini dan boleh dicapai menerusi laman sesawang www.JPJeBid.gov.my disamping melalui aplikasi mudah alih JPJeBid.

“Bagaimanapun mana-mana syarikat atau orang awam yang tidak mempunyai rekod di dalam sistem Mysikap seperti rekod kenderaan, lesen atau saman dikehendaki mendaftarkan terlebih dahulu di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangan JPJ kecuali Pusat Transformasi Bandar,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, harga bidaan dalam JPJeBid adalah bermula FC1 hingga FC 9999 mengikut harga minimum yang ditetapkan iaitu kategori nombor bernilai utama bermula dari bidan RM20,000, nombor menarik dengan bidaan RM3,000, nombor popular RM800 dan nombor biasa RM300.

Jelasnya, kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid adalah hanya menggunakan kad kredit tempatan sahaja dan setiap individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor kenderaan manakala bagi syarikat atau perniagaan adalah tidak melebihi lima nombor kenderaan sahaja.

Dalam pada itu, Anthony berkata, JPJ menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM4.3 bilion bagi tahun ini.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2018 JPJ telah berjaya memungut hasil sebanyak RM4.23 billion atau lebih tepat RM 4,233,171,543.31.

Jumlah ini merupakan peningkatan 3.32% berbanding hasil tahun 2017 69 peratus daripada hasil ini disumbangkan oleh Lesen Kenderaan Motor (LKM).- MalaysiaGazette