Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd, Muhammad Yazurin Sallij bercakap kepada media ketika mengadakan tinjauan Pelaksanaan Hari Pertama Sistem Pembayaran Tanpa Cukai di Laluan Bas Koridor Ampang, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Inisiatif Rapid KL yang mula menggunakan konsep pembayaran elektronik sepenuhnya bermula di koridor Ampang hari ini akan membawa pelbagai perubahan positif.

Mungkin juga senario seperti sebelum ini, perkhidmatan bas yang serba kekurangan dalam segelintir aspek seperti kelewatan serta kekurangan kenderaan itu pada setiap masa.

Malah gambaran bagaimana rata-rata penumpang terpaksa berebut-berebut menaiki bas sehingga sendat macam ‘tin sardin’ juga dapat diatasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid KL, Muhammad Yazurin Salliji memberi jaminan masalah sedemikian akan berubah secara berperingkat, katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Beliau yakin insiatif konsep pembayaran elektronik yang diperkenalkan itu sedikit sebanyak akan memberi ‘kelegaan’ kepada penumpang terutama dalam isu dalam isu kelewatan dan kekurangan bas.

“Kita tidak tolak semua aduan itu, kerana itu saya yakin dengan wujudnya konsep cashless ini, sekurang-kurangnya kita dapat jimatkan lebih banyak masa dan kemudian memberikan peluang kepada bas lain melakukan kekerapan dengan lebih banyak lagi.

“Itu juga akan bantu kita daripada elak isu seperti kesesakan dalam bas itu sendiri kerana kita dapat sediakan lebih banyak bas dan masa juga tidak lewat kerana ianya datang pada masa yang tepat.

“Saya tidak dapat berjani apa-apa tempoh waktu untuk memperbetulkan semuanya sekaligus tetapi secara perlahan semuanya akan berubah,” ujarnya.

Rapid KL perkhidmatan bas yang mendominasi perkhidmatan pengangkutan di ibu kota dengan membawa lebih 400,000 penumpang saban hari mula melaksanakan pembayaran elektronik menggunakan kad Touch n Go atau pas perjalanan seperti My100 dan My50.

Dengan memulakan ianya di koridor Ampang hari ini kemudian secara berperingkat di Cheras, Sungai Besi, Jalan Klang Lama, Damansara, Jalan Ipoh, Jalan Pahang dan Lebuh Raya Persekutuan berakhir 27 Mei ini.

Dalam pada itu, Muhammad Yazurin sempat berkongsi cerita bagaimana adik beliau sendiri mendapat faedah melalui inisiatif-yang dilakukan bagi memberi manfaat kepada pengguna sekaligus perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

“Sedikit saya ingin kongsikan, adik saya yang bekerja di KLCC, Jalan Ampang dan tinggal di Taman Kosas bercerita bagaimana pengangkutan awam ini kini membawa faedah.

“Jika sebelum ini, beliau akan memandu kereta ke tempat kerja kini beliau mula menggunakan My100 ini dan beliau akan menggunakan LRT Ampang dan bertukar stesen di Maluri Cheras sebelum ke Bukit Bintang.

“Dari Bukit Bintang, beliau hanya berjalan kaki ke tempat kerja yang mengambil masa kira-kira 10 minit. Bayangkan, beliau dapat menjimatkan masa, wang selain daripada sempat bersenam setiap hari.

“Jika dulu, walaupun waktu pejabat, kadang-kadang beliau terpaksa menyemak email tetapi ianya sukar terutamanya apabila memandu tetapi kini dengan menggunakan perkhidmatan awam, beliau dapat buat semua itu dan balik rumah pada masa yang sama. Tidak perlu semak email di rumah.

“Saya cuma beri contoh kerana ianya dekat dengan saya, bayangkan inisiatif-inisiatif ini sebenarnya membawa kepada perubahan yang lebih baik,” ujarnya. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/15/rapid-bus-laksana-pembayaran-tanpa-tunai-bermula-hari-ini/