Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri (empat kiri), Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz (empat kanan), diiringi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Datuk Wira Ustaz Haji Abdul Ghani Bin Samsudin (tiga kanan) bergambar kenangan selepas Pelancaran Buku Fastabiqul Khairat di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 16 APRIL 2019.

PUTRAJAYA – Umat Islam di negara ini perlu mengubah pemikiran mereka dalam menjalani kehidupan seharian dan ia bermula daripada minda dan hati.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, jika dapat diubah barulah mereka  dapat menganggap Islam itu sebagai nikmat dan anugerah daripada Allah.

Beliau berkata, umat Islam juga perlu yakin bahawa agama Islam itu bukan menjadi beban kepada manusia.

“Al-Quran bukan menyusahkan bahkan memberi kita panduan dan peringatan serta hidayah di atas dunia yang dikehendaki Allah.

“Ubah fikiran juga menjadi tanggungjawab untuk menyebarkan Islam dan risalah dakwah supaya difahami orang Islam dan menjadikan agama Islam sebagai panduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan pada Forum Khas Malaysia Negara Rahmah dan melancarkan Buku Fastabiqul Khairat di Masjid Tuanku Muzan di sini hari ini.

Turut hadir Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada masa sama, Nik Omar berkata, menjadi tanggungjawab kepada bukan Islam untuk berasa selesa dan aman dalam urus tadbir negara yang patuh syariah kerana mendapat hak seperti orang Islam dalam suasana kehidupan aman damai, toleransi dan hormat-menghormati.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Fastabiqul Khairat anjuran YADIM, ia bertujuan mengajak orang ramai tanpa mengira kaum, politik dan agama untuk berlumba-lumba membuat kebaikan.

Jelasnya, program itu juga sebagai tanda permulaan untuk badan dakwah itu melakukan penjenamaan semula dengan menyampaikan hala tuju masa kini. – MalaysiaGazette