ALOR SETAR – Polis menerima lima laporan berkaitan penipuan skim pelaburan saham yang tidak wujud yang dianjurkan oleh sebuah syarikat herba Cina membabitkan kerugian sekitar RM780,000, sejak Januari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Supt Annuar Amri Abd Muluf berkata, ia melibatkan lima mangsa dari Kulim berusia antara 48 dan 71 tahun yang terdiri daripada pekeja kilang, jurusolek dan pesara swasta.

“Syarikat ini didaftarkan di Kuala Lumpur dan beroperasi di Pulau Pinang. Skim ini ditawarkan sejak 2018 di mana ia menawarkan saham syarikat kepada mangsa berserta pulangan pelaburan sekiranya melabur dalam skim ini.

“Selain itu, mangsa juga ditawarkan jawatan sebagai perunding untuk produk-produk syarikat itu serta dijanjikan bayaran RM6,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kesemua mangsa telah membuat pelaburan antara RM60,000 dan RM200,000, dan seorang daripada mereka mengalami kerugian terbesar yang menjangkau RM200,000.

Annuar Amri berkata kertas siasatan membabitkan penipuan pelaburan itu telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan menyemak dengan pihak berkaitan sekiranya meragui skim yang ditawarkan.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak berurusan dengan mana-mana penyedia perkhidmatan kewangan yang tidak sah, mendedahkan maklumat kewangan peribadi atau melibatkan diri dengan mana-mana penyedia perkhidmatan kewangan tidak sah,” katanya.

— BERNAMA