Pengurus Ambank Cawangan Jalan Raja, R. Uma Devi (kiri).- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Ketika sesi soal balas pada prosiding melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, jawapan saksi ke-21, R Uma Devi kelihatan bercanggah dengan saksi kedua, Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Uma Devi yang merupakan Pengurus Ambank cawangan Raja Chulan mendedahkan dirinya telah menyerahkan butiran seperti transaksi bank kepada Azizul selepas diminta oleh pengawai penyiasat Bank Negara Malaysia (BNM) itu pada 2015.

Bagaimanapun ia bercanggah dengan keterangan yang diberikan oleh Azizul yang mengakui tidak pernah meminta sebarang butiran seperti itu ketika serbuan, sebaliknya Uma Devi sendiri secara sukarela menyerahkan kepadanya.

Ketika berbalas jawab dengan peguam bela Harvinderjit Singh, Uma Devi mendedahkan perkara tersebut dengan menyatakan dirinya tidak menyerahkannya sehingga diminta berbuat demikian.

Harvinderjit bertanyakan kepada Uma Devi adakah beliau sedar jawapan itu tidak sama dengan keterangan Azizul pada prosiding sebelum ini.

“Anda sedar apa yang anda katakan ini tidak sama dengan kenyataan Azizul minggu lepas?,” soal Harvinderjit.

“Ya,” angguk Uma Devi dengan yakin.

Kata Harvinderjit, Azizul mendedahkan Uma Devi hanya memberikan butiran nombor-nombor akuan.

“Kata Azizul kepada mahkamah beliau hanya memberikan kamu nombor-nombor akaun. Adakah kamu tahu ia tidak benar atau sebaliknya?,” soal beliau lagi.

Uma Devi hanya mengatakan dia sedia maklum ia tidak benar.

Soal Harvinderjit lagi bagi mendapatkan kepastian.

“Adakah ini dibincangkan dengan timbalan pendakwa raya Suhaimi, Sulaiman dan Sithambaram?,” soalnya.

Kata Uma Devi, benar ia ada disebut.

Sebelum ini Azizul memberitahu mahkamah semua dokumen spesifik termasuk transaksi bank yang diperoleh semasa serbuan di AmBank cawangan Raja Chulan, pada 6 Julai 2015 dikemukakan oleh Uma Devi.

Kata Azizul beliau tidak memaklumkan kepada Uma Devi mengenai keperluan dokumen spesifik berkenaan ketika bertemu dengan wanita itu pada hari serbuan.

Menurut saksi kedua itu, beliau ke sana bagi mendapatkan dokumen-dokumen yang terdapat dalam senarai yang diarahkan oleh pegawai penyiasat BNM dan ia tidak termasuk arahan melibatkan transaksi wang yang masuk ke akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, Azizul mengakui ada arahan kepadanya untuk mengambil dokumen berkaitan akaun termasuk maklumat pembukaan akaun bank dan surat menyurat berkenaan akaun.

Lapan ‘folder’ dan tiga sampul telah diperolehi pada waktu pagi dan terdapat dokumen lain yang diserahkan oleh Uma Devi kepadanya pada waktu malam.

Serbuan pada sesi pagi dijalankan pada jam 9 pagi hingga jam 11 pagi manakala satu pasukan lagi meneruskan penggeledahan sehingga jam 9 malam. – MalaysiaGazette