Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Laluan di sepanjang inisiatif Road and Belt cetusan China yang akan melintasi banyak negara perlu bebas, dibuka kepada semua dan selamat.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, teknologi moden dengan peningkatan keupayaan pengumpulan data, kepintaran buatan dan komunikasi tanpa wayar akan membolehkan pemantauan dan pemeriksaan dilakukan tanpa memerlukan pemeriksaan dilakukan secara fizikal.

“Dengan teknologi ini, banyak masa dapat diselamatkan. Dan pertumbuhan penggunaan laluan tersebut akan meningkat,” katanya sambil menambah kerenah birokrasi tidak sepatutnya wujud kerana ia akan melambatkan perjalanan.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada mesyuarat peringkat tertinggi Forum Belt and Road untuk kerjasama antarabangsa di Beijing, China hari ini.

Tambah Mahathir, laluan tersebut juga perlu selamat, manakala keganasan dan peperangan akan membuatkan batu permata moden itu tidak berupaya menyediakan manfaat yang dijanjikan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, laluan darat perlu bertindak balas kepada keperluan terhadap peningkatan perdagangan antara timur dan barat, seperti yang berlaku dalam pembangunan industri perkapalan.

Katanya, walaupun kereta api boleh kini boleh menghubungkan China dan timur Eropah namun pengangkutan itu tidak direka untuk meningkatkan pengangkutan barangan dan penumpang yang diperlukan sepanjang laluan tersebut.

Menurut beliau, jika kapal boleh dibina dengan lebih besar lagi, mengapa kereta api tidak boleh mengangkut barangan, bahan mentah dan penumpang sama banyak seperti dibawa kapal.

“Adakah kereta api telah sampai hadnya daripada aspek saiz dan panjang. Saya rasa tidak, jika lebar landasan dilebarkan dan panjang kereta api dipertingkatkan, bolehkah kita membina kereta api yang lebih besar? Bolehkan kita mempunyai kereta api yang lebih panjang, mungkin sepanjang satu kilometer?

“Terdapat penambahbaikan kelajuan keretapi. Dengan semua sensor yang ada tidak bolehkan kita membina keretapi yang laju dan selamat bagi memenuhi permintaan perdangangan yang meningkat pada hari ini,” ujar beliau.

Mahathir berkata, kereta api boleh memendekkan jarak antara timur dan barat dan kenderaaan itu adalah lebih laju daripada kapal.

Katanya, kita mempunyai teknologi dan wang untuk melakukan penambahbaikan.

Jelasnya, ketika laluan laut dan darat bertambah baik, perdagangan dan pengembaraan akan meningkat, sekali gus meningkatkan kehidupan setiap orang.

Katanya, Inisiatif Belt dan Road adalah idea yang baik dan ia boleh merapatkan negara Asia Tengah dengan laut.

Jelasnya, kekayaan negara itu boleh berkembang dan kemiskinan dapat dikurangkan.

Tambah beliau, semua orang akan mendapat manfaat daripada pengangkutan dan komunikasi yang baik ini menerusi projek Belt and Road. – MalaysiaGazette