KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Kebangsaan Anti Keganasan Terhadap Wanita Indonesia (Komnas Perempuan) meminta Malaysia membuat bantahan terhadap pembebasan seorang wanita di Pulau Pinang yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia.
Kumpulan itu juga meminta kerajaan Indonesia menggesa timbalan pendakwarayanya untuk membuat rayuan bantahan terhdap pembebasan tersebut dengan mengatakan mereka masih mempunyai masa kira-kira 14 hari lagi untuk berbuat demikian.
Pada 19 April lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Ambika MA Shan daripada tuduhan bunuh selepas Timbalan Pendakwa Raya meminta supaya dia dilepaskan tanpa dibebaskan.
Menurut Komnas Perempuan, keputusan melepaskan Ambika adalah “satu pengkhianatan terhadap keadilan pembantu rumah berkenaan, Adelina Lisao, keluarga pekerja Indonesia, negara Indonesia dan Asean.
“Kami mahu kerajaan Indonesia berjuang dan menuntut hak Adelina dan keluarganya sebagai seorang mangsa.
“Ini termasuklah pampasan kepada keluarganya dan haknya untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kes penderaan terhadap Adelina pada tahun lalu mengejutkan negara apabila dia diselamatkan dari rumah majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dalam keadaan tidak bermaya selepas fotonya yang terbiar di luar rumah dirakam seorang jiran.
Ketika diselamatkan, Adelina didapati mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dengan lengan dan kakinya dipenuhi luka bernanah akibat terbakar manakala mukanya bengkak.
Malah, mangsa juga dikatakan dipaksa tidur di luar rumah bersama anjing.
Bagaimanapun, Adelina gagal diselamatkan selepas meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam.- MalaysiaGazette
















