KUALA LUMPUR – Kegigihan Mohd. Fauzi Taib mengusahakan perniagaan spa sendiri wajar dijadikan contoh oleh usahawan muda tempatan.
Menjadikan prinsip kerja keras sebagai resipi kejayaan, pengasas Anjung Village Spa itu tidak menoleh belakang lagi malah terus giat mempromosikan spa miliknya yang terletak di Kampung Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Tentunya bagi lelaki berusia 41 tahun ini, tiada jalan pintas untuk menghasilkan dan memasarkan produk sendiri. Untuk hasil yang terbaik, dia telah memperkenalkan kelainan produk dan rawatan yang ditawarkan.
Bagi dirinya, khasiat rempah ratus perlu dimanfaatkan bagi kecantikan kulit dan tubuh. Walaupun menggunakan kaedah moden, rempah ratus yang diolah dan diadun itu menjadi lebih praktikal sebagai pilihan bagi yang ingin mengembalikan kesegaran tubuh khususnya melalui rawatan spa.
Anjung Village Spa tambahnya, melengkapkan khidmat memanjakan diri dengan pakej perawatan badan menggunakan herba tradisi dikendalikan juruterapi terlatih.
Keunikan turut dirasai sebaik melangkag ke dalam spa ini yang masih mengamalkan konsep tradisional bukan saja dalam rawatannya malah menyajikan dekorasi indah berciri tradisi.
Suasana mendamaikan itu juga ditambah dengan kehadiran wangian herba seperti serai dan pandan bagi menghidupkan konsep yang dipilih iaitu Melayu Nusantara.
Susunan batu sungai menyusuri tepian pejalan kaki digabungkan bersama konsep kayu-kayan yang digunakan seolah-olah membawa diri ke kampung halaman malah pengunjung akan dibuai dengan alunan muzik.
Menurut Mohd Fauzi, rawatan wajah menggunakan sepenuhnya bahan semula jadi antara yang ditawarkan spa itu khusus untuk mengembalikan kesegaran wajah.
Jelasnya, pupur wajah avokado dan tanah liat misalnya berfungsi melembap dan menyegarkan kulit.
“Avokado mengandung banyak nutrisi seperti vitamin E dan K serta zat besi yang dapat membantu menjaga kulit agar tetap sihat selain meningkatkan produksi kolagen sehingga mencegah kulit dari penuaan.
“Pupur wajah daripada buah ini juga mengandungi sterolin yang membantu untuk mengurangi tompok penuaan. Buah ini sememangnya diketahui memiliki kandungan kalium dan mineral yang tinggi, bermanfaat sebagai nutrisi untuk mengembalikan keanjalan kulit secara lembut,” katanya.
Selain itu, penggunaan kunyit dan kulit kayu manis untuk rawatan pupur turut disediakan khusus untuk wajah yang mengalami jerawat dan resdung malah bahan sama turut digunakan sebagai lulur badan.
Mohd Fauzi berkata, sejak dulu lagi kunyit memang tidak asing sebagai antara bahan popular untuk kecantikan wajah malah ia turut dimanfaatkan dalam penjagaan kesihatan.
Katanya, kandungan curcumin dalam kunyit yang berfungsi sebagai antikanser dan antioksidan turut berperanan menyingkirkan sel kulit mati dan membersihkan kulit daripada bahan tidak berguna yang menempel di permukaannya.
“Kami juga menyediakan perawatan wajah menggunakan kulit kayu manis yang mempunyai pelbagai khasiat untuk tubuh antaranya dapat melancarkan peredaran darah dan berfungsi sebagai antibakteria.
“Tidak hairanlah sudah zaman berzaman bahan ini digunakan secara tradisional untuk kecantikan wajah terutama bagi mengatasi masalah jerawat,” katanya yang turut menjelaskan pakej rawatan di spa itu bermula daripada RM35 hingga RM350.
Dari segi khidmat urutan pula katanya, urutan wajah ais tomato antara rawatan unik yang disediakan. Ia berfungsi menyegarkan di samping menyerap lebihan minyak pada wajah menyebabkan jerawat mengecut dan kulit menjadi licin dan berseri.
Selain kaya dengan vitamin A dan C, tomato juga mengandungi likopena iaitu antioksidan yang amat berguna untuk melawan radikal bebas akibat asap kenderaan, asap rokok dan bahan berbahaya yang masuk ke dalam tubuh.
Dari sudut kecantikan pula, tomato dapat menyejukkan kulit dan menjadikan wajah bersinar dan berseri.
Menurutnya, pakej urutan pula menyediakan konsep tradisional menggunakan minyak herba untuk mengembalikan kesegaran badan dan menghilangkan tekanan.
Bagi yang ingin mencuba rawatan di Anjung Village Spa bolehlah menghubungi talian 012-2457744. – MalaysiaGazette