Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir untuk perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi sebentar tadi menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Najib Razak untuk mendapatkan perisytiharan tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapinya adalah ‘cacat’.

Ini merujuk kepada kepada dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang didakwa diselewengkan oleh bekas Presiden UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu.

Pada prosiding sebentar tadi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan tersebut bagi mengetepikan semua tujuh pertuduhan dengan berkata, ianya tidak dikelirukan atau prejudis seperti didakwa oleh barisan pembelaan Najib.

“Sehingga hari ini iaitu selama sembilan hari, seramai 21 saksi telah memberikan keterangan dengan soal balas ekstensif, juga ada permohonan dokumen serta saksi.

“Sukar untuk menerima bahawa pembelaan oleh tertuduh dikelirukan dengan dakwaan-dakwaan dikemukakan,” katanya ketika membacakan keputusan tersebut.

Jumaat lepas, peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Najib selaku pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram selaku responden.

Beliau yang juga bekas Peguam Cara Negara II dan pendakwa raya dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhujah tiga tuduhan kesalahan pengubahan wang haram dihadapi Najib adalah cacat dan tidak mematuhi kehendak mandatori Seksyen 91A Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Kata beliau, tuduhan melakukan pengubahan wang haram dihadapi Najib itu tidak menunjukkan ia satu kesalahan komponen bagi tuduhan lebih berat.

“Beban membuktikan kesalahan komponen itu terletak kepada pihak pendakwaan.

“Dalam kes ini, kesalahan AMLA dihadapi tidak menunjukkan kesalahan predikat dan beban membuktikan kesalahan predikat terletak pada pihak pendakwaan. Tuduhan membabitkan kesalahan AMLA ini tidak jelas,” ujarnya.

Pada masa sama, Sithambaram pula berhujah, peguam utama yang mewakili Najib dalam kes SRC International sudah bersetuju permohonan pendakwaan supaya tiga tuduhan pengubahan wang haram dibicarakan bersama kes pecah amanah dan menyalahguna kedudukan kerana membabitkan transaksi sama.

“Kesalahan mengikut Kanun Keseksaan, pengubahan wang haram dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tuduhan berasingan dan membabitkan perkara berbeza yang perlu dibuktikan,” katanya.

Terdahulu hari ini, Najib yang tiba di kompleks mahkamah sekitar 8.45 pagi tadi lengkap berpakaian kelabu duduk di kandang tertuduh di bahagian galeri  awam untuk menunggu prosiding bermula.

Hari ini masuk hari ke-10 perbicaraan kes Najib pecah amanah dan salah guna kuasa ketika masih menjawat jawatan tersebut. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast