Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

IPOH – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan memohon kepada kerajaan persekutuan agar dapat memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada semua penjawat awam di seluruh negara.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata CUEPACS akan mengutus surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung perkara itu dalam waktu terdekat ini iaitu ketika umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

“Macam biasa kita akan suarakan kepada kerajaan dengan mengutus surat kepada PM (Perdana Menteri) dan Menteri Kewangan supaya dalam mengharungi kos sara hidup yang semua orang tahu beban, dan kesannya terhadap kewangan penjawat awam yang berada di mana-mana jua.

“Bukan sahaja membabitkan penjawat awam di kawasan bandar malah di luar bandar dan kalau tidak dibantu, mungkin ada dalam kalangan penjawat awam tidak dapat berhari raya kerana tidak mampu nak beli baju raya untuk anak-anak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Seminar Hari Pekerja sempena sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2019 yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional Perak A.Sivanesan di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Tahun lepas, kerajaan memberikan bantuan khas berkenaan iaitu bagi gred 41 dan ke bawah sebanyak RM400 seorang manakala pesara kerajaan sebanyak RM200.

Sementara itu, terdahulu, Azih dalam satu kenyataan berkata kira-kira 10,000 penjawat awam akan menikmati perlindungan takaful kemalangan CuepacsPA-Raya bernilai RM220,000 secara percuma sempena sambutan Hari Pekerja 2019.

Menurut Azih, program yang merupakan kerjasama antara MyCuepacsCare dan Zurich General Takaful Malaysia Bhd (Zurich) akan memberikan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan bermula 20 Mei sehingga 19 Jun hadapan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, penjawat awam boleh mendapatkan borang CuepacsPA-Raya yang diedarkan secara percuma pada seminar hari ini, sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya esok dan sambutan Hari Pekerja CUEPACS di sini pada Khamis.

“Risiko berlakunya kemalangan ketika musim perayaan adalah tinggi berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya. Justeru, saya berharap penjawat awam tidak membiarkan diri mereka tanpa perlindungan sewajarnya,” katanya.

Azih berkata antara manfaat ditawarkan melalui CuepacsPA-Raya adalah perlindungan untuk kemalangan sebagai penumpang pengangkutan awam atau kenderaan persendirian, pembunuhan, serangan, mogok, rusuhan dan kekacauan awam.- BERNAMA