Mat Sabu
Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Setiausaha Akhbar (SUA) kepada Mohamad Sabu, Amin Shah Iskandar tampil menjelaskan mengenai penyebaran beberapa gambar menterinya sedang bersolat di sebuah Masjid di Iran.

Menurut beliau, adalah perkara biasa samada rakyat mahupun tetamu kenamaan luar negara diletakkan Turbah atau Batu Karbala di atas sejadah mereka.

Malah katanya, ia merupakan tradisi masyarakat Iran meletakan batu berkenaan di hadapan sejadah untuk tujuan bersolat.

“Memang tradisi di Masjid-masjid di Iran, turbah memang sedia diletak di sejadah.

“Semua org tanpa kecuali, apatah lagi sejadah VIP. Tinggal lagi terpulang kepada kita nak sujud di mana,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Baru-baru ini, tular beberapa keping gambar Menteri Pertahanan itu sedang bersolat di sebuah masjid di Iran dengan kehadiran batu Karbala di hadapan sejadah beliau.

Melalui satu laman web berbahasa Parsi, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu dilihat sedang bersolat di sebuah masjid di Tehran berimamkan dengan Imam Ayatollah Emami Kashani.

Menerusi carian MalaysiaGazette mendapati, batu Karbala ini digunakan oleh penganut ajaran Syiah sebagai tempat sujud mereka ketika solat.

Batu Karbala itu dibuat dari tanah Karbala yang dianggap suci oleh masyarakat berkenaan kerana Karbala merupakan tempat terbunuhnya cucu Nabi Muhammad SAW, Hussain yang menjadi imam kepada kelompok Syiah ini. – MalaysiaGazette