KUALA LUMPUR – Isu bot pukat tunda bermaharajalela di perairan Muar menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau yang merupakan ahli Parlimen kawasan berkenaan mendedahkan kegiatan tersebut telah menyebabkan mata pencarian lebih 1,000 keluarga nelayan terkesan dengan teruk.
“Walaupun tidak dibenarkan untuk masuk Muar, mereka seperti “dibenarkan” oleh pihak tertentu untuk terus bermaharajalela.
“This is wrong. I will stop this,” katanya dalam ciapan di laman Twitter hari ini.
Syed Saddiq turut memuat naik tiga keping gambar dan salah satu daripadanya dipercayai memaparkan bot-bot pukat tunda yang memasuki kawasan larangan.
Ada kalangan netizen yang meminta Ahli Parlimen Muar itu mendedahkan pihak yang ‘membenarkan’ pukat-pukat tunda itu menjalankan kegiatan di kawasan larangan.
“Pihak tertentu mana yg cuba undermine kamu bro? Petik terus je nama pihak pihak ni.. Bnda benar .. tiada masalah utk di dedahkan. Pusing ikut mana pun.. benar tetap benar. Dan tak perlu ragu2 ..tak perlu fikir jauh.. Sound Tegak je bro,” kata seorang netizen.
Ada juga yang memuji keprihatinan Syed Saddiq yang disifatkan sebagai tidak gentar itu dan meminta pihak yang berkaitan mengambil tindakan segera.
Sementara itu, ayat Syed Saddiq yang menggunakan perkataan ‘harta sepencarian’ yang mungkin sebenarnya merujuk kepada mata pencarian turut menerima teguran para netizen. – MalaysiaGazette