KUALA LUMPUR – Penyerang sensai skuad kebangsaan Singapura, Khairul Amri Mohd Kamal sah menjadi milik pasukan FELDA United selepas menandatangani kontrak secara rasmi semalam.

Pemain yang berusia 34 tahun itu dijangka akan diturunkan pada aksi suku akhir kedua Piala FA bertemu Kuala Lumpur di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka esok.

Ia bakal menjadi penampilan pertama beliau selepas lima tahun meninggalkan saingan Liga Malaysia ketika bersama skuad Lions 12 kendalian V. Sundramoorthy.

Difahamkan beliau telah menandatangani kontrak selama setahun enam bulan dan bakal menggalas cabaran besar selaku penyerang utama The Fighters.

Khairul Amri yang beraksi untuk kelab Tampines Rovers dalam saingan Liga Singapura musim ini merupakan seorang pemain yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa dan mempunyai 130 kaps bersama skuad kebangsaan Singapura.

Sepanjang mewakili negaranya, beliau telah merekodkan 37 gol dan menjuarai Piala AFF sebanyak tiga kali. Pada tahun 2015, beliau membantu skuad Lions XII menjuarai Piala FA buat pertama kali dalam sejarah. – MalaysiaGazette