Waytha
P. Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR – Kenyataan peguam, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah yang menggelar segelintir pengamal media sebagai ‘media estet’ menggores perasaan dan mengecewakan khususnya kepada masyarakat India.

Kenyataan tersebut seolah-olah memberi gambaran masyarakat estet yang umumnya dalam kalangan komuniti India kurang beretika, tidak bermoral dan bertamadun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorty dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette berkata, kenyataan dan pandangan peguam itu memeranjatkan.

Waytha Moorty berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhamad Shafee yang ‘berang’ dengan tindakan segelintir media menulis laporan tidak benar berhubung anak guamnya, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang sebelum ini lantang bersuara isu-isu berkaitan masyarakat India sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 telah lama mendiamkan diri, sebelum tampil mengulas kenyataan Muhamad Shafee yang pada pandangannya sudah melampaui batas.

“Benarkah apa yang saya dengar dan baca ini? Seorang pengamal undang-undang yang begitu berpengalaman dan senior bercakap seperti ini?

“Sebenarnya saya ingin tahu, apakah yang cuba disampaikan oleh Muhamad Shafee ini? Mengapakah beliau mengatakan media tidak sepatutnya berkelakuan seperti orang estet?

“Satu, adakah beliau mengatakan bahawa orang estet ini kekurangan kesantunan? Etika? Moral? Tidak bertamadun atau penipu? Saya hendak tanya Muhamad Shafee, apakah maksud kamu? Tolong jelaskan.

“Adalah sangat tidak adil, memalukan serta sangat menghina komuniti ini dengan cara percakapan kamu. Ingat, orang-orang yang kamu gelar estet itu sebenarnya antara yang telah berkorban darah dan keringat, membanting tulang siang malam bagi pembangunan negara.

“Sudah lupakah kamu atau mahu saya ingatkan? Siapa kamu untuk perlekehkan masyarakat estet seperti ini? Apa sebenarnya niat percakapan kamu itu? Kami semua mahu tahu. Ini sungguh tidak bertanggungjawab dan menyakitkan hati.

“Tindakan kamu juga telah mencemarkan golongan ini, memberi gambaran sangat buruk. Kami mohon supaya anda jelaskan niat percakapan itu dan dengan kadar segera memohon maaf jika seandainya ikhlas. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh di terima langsung,” katanya.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
Muhammad Shafee Abdullah

Semalam, Muhamad Shafee yang juga merupakan Ketua Pasukan Barisan Peguam Bela bekas Perdana Menteri melahirkan rasa kecewa dan marah dengan tindakan media mengeluarkan laporan tidak benar kononnya Najib sengaja melanggar peraturan mahkamah.

Najib dilaporkan mengambil gambar swafoto,’ selain gambar prosiding mahkamah ketika perbicaraan sedang berlangsung.

Namun, Najib sendiri tampil memberitahu beliau hanya menggunakan cermin dalam telefon bimbitnya.

Muhamad Shafee juga pernah merungut dan pernah memohon kepada hakim supaya portal Malaysiakini menarik balik laporan berhubung Najib yang disalah tafsir dan ditulis baru-baru ini.

Najib sendiri pernah meluahkan rasa tidak puas hati kerana media seolah-olah berat sebelah dalam laporan mereka berhubung prosiding SRC International yang sedang dihadapi olehnya.

MGF19122018_PEKERJA LADANG BERJAYA_04
S. Arutchelvan.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Pusat Parti Sosalis Malaysia (PSM),  S Arutchelvan juga berpendapat tindakan Muhamad Shafee itu tidak adil dan memeranjatkan umum khasnya komuniti India.

Katanya, tindakan Muhammad Shafee menyalahkan media kerana tidak mengikut rentak beliau juga sebenarnya salah, sebaliknya beliau seharusnya bersikap jauh lebih profesional.

“Saya tidak terkejut dengan kenyataan ‘orang kaya’ seperti Muhamad Shafee ini. Tapi saya hanya mahu beliau tahu, jika kamu mahu media hormat kamu dan tulis yang sebetulnya, kamu juga perlu bersikap sedemikian.

“Jangan harap keadilan itu untuk diri kamu dan orang sekeliling kamu sahaja, semua muak dengan sikap yang ditonjolkan oleh kamu, benci dan marah,” tegasnya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/09/saya-tidak-ambil-gambar-cuma-guna-cermin-najib-jawab-soalan-hakim/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast