Fuziah Salleh
Fuziah Salleh. foto IQBAL BASRI, 13 MAC 2019

KUANTAN – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh hari ini mengesahkan akaun Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) telah diaudit oleh firma audit terkemuka PricewaterhouseCoopers.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan sama ada laporan audit itu akan didedahkan kepada umum atau tidak, terpulang kepada lembaga pengarah Yapiem untuk menentukannya.

“Saya enggan mengulas mengenai bagaimana pentabiran terdahulu di bawah kerajaan lama menggunakan duit (Yapeim) kerana kita sudah melantik firma audit untuk melakukan tugasnya.

“Bagaimanapun di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, kita tekad malah saya sendiri akan memastikan duit itu adalah untuk memanfaatkan anak yatim dan Yapeim telus dalam pentadbirannya,” katanya.

Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan dan menyampaikan sumbangan sempena Kembara Rahmah Nur Ramadan 2019 di surau Perumahan Rakyat Pak Mahat di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita hari ini, yang mendakwa dana Yapeim berjumlah RM1 juta untuk membantu anak yatim telah disalah guna bagi membayar yuran guaman pembantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2017.

Najib bagaimanapun, menerusi akaun laman sosial Facebook beliau menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai propaganda jahat untuk memburukkan imejnya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan yang berlangsung hari ini. – Bernama