Calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil P. 186 Sandakan calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin, (kanan) , Calon Bebas, Chia Siew Yung, (dua kanan), Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee, (tengah), Calon Bebas, Sulaian Abdul Samat (dua kiri) dan Hamza A. Abdullah Hamzah (kiri) pada hari penamaan calon di Dewan Aktiviti SMJK Tiong, Sabah. foto MALAYSIA GAZETTE, 27 APRIL 2019

KOTA KINABALU – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan memperlihat DAP mengekalkan kekuasaannya di kawasan itu.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, parti itu berjaya memenangi PRK Sandakan.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan calonnya, Vivian Wong mendahului 4 pencabarnya dengan 16,012 undi berbanding 4,491 undi yang diraih pencabar terdekatnya daripada Parti Bersatu Sabah, Linda Tsen.

Tiga calon bebas, iaitu bekas pengasas Amanah Sabah, Hamzah Abdullah hanya mendapat 788 undi, ahli perniagaan, Chia Siew Yung (178 undi) dan seorang lagi calon Bebas, Sulaiman Samat mendapat 126 undi.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga bapa kepada Vivian akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Untuk rekod, ini PRK kelapan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lepas.

Pertama, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April). – MalaysiaGazette