JERTIH – Gara-gara marah kerana tidurnya terganggu, seorang penganggur bertindak menikam imam yang sedang membaca al-Quran menggunakan pembesar suara.

Dalam kejadian di masjid Kampung Apal pada 6.30 pagi tadi, mangsa Mohd Amin Md Nor, 37, menerima tujuh jahitan dan cedera di dada kiri.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata lelaki yang berusia 23 tahun didapati positif methamphetamine dan mengaku menikam mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.

“Suspek tiba-tiba datang dari arah belakang menikam bahagian dada mangsa. Hasil siasatan awal, suspek mengaku melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang membaca al-Quran di dalam masjid menggunakan pembesar suara,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Mohd Zamri berkata jarak rumah lelaki terbabit dengan tempat kejadian lebih kurang 100 meter dan ketika insiden itu, terdapat dua jemaah lain sedang berehat di ruang belakang masjid.

Beliau berkata mangsa merupakan imam di Surau Rantau Petronas di Kerteh, Kemaman dan pulang ke Besut kerana menguruskan jenazah ayah beliau yang meninggal dunia pada Jumaat.

Lelaki itu kini ditahan untuk mendapatkan perintah reman dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa menggunakan senjata tajam.

— BERNAMA