KUALA LUMPUR – Seorang lelaki diperlakukan seperti mayat selepas dituduh mencuri duit tabung masjid.

Lelaki dipercayai berusia lingkungan 30an itu dibaringkan pada tempat memandikan jenazah dan disiram seperti mayat yang sedang dimandikan.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Masjid Batu 16, Kampung Sungai Tiram dekat Kuala Selangor, baru-baru ini.

Video insiden tersebut dirakam oleh salah seorang daripada sekumpulan lelaki dipercayai jemaah masjid berkenaan yang kemudian ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp.

Berdasarkan audio pada rakaman itu, individu yang menyiramkan air pada lelaki terbabit nekad memperlakukan sedemikian kerana marah dengan tindakan lelaki tersebut.

“Semoga Allah SWT beri engkau kebaikan, kesedaran dunia dan akhirat. Lepas ni jangan mencuri lagi,” katanya.

Pemerhatian menerusi visual pada rakaman berkenaan menunjukkan tangan lelaki itu diikat menggunakan tali.

Individu yang turut berada di situ turut menyatakan tindakan mereka ke atas lelaki bukanlah bertujuan hendak memalukan, sebaliknya mahu memberikan kesedaran di atas perbuatannya yang mencemar bulan Ramadan.

Tidak ada sebarang bentuk kekasaran fizikal dilakukan oleh kumpulan jemaah berkenaan terhadap lelaki itu pada video berdurasi 1.21 saat. – MalaysiaGazette

https://www.youtube.com/watch?v=MamTlMGkwVk&feature=youtu.be