PASKAL

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan dua bot nelayan asing yang sedang melakukan aktiviti menarik pukat ganding di Timur Laut Pulau Redang, Terengganu, petang semalam.

Dalam satu kenyataan, Jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Tanjung Gelang memberitahu, dua bot itu bersama 18 awak-awak dan tekong warga Vietnam ditahan anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang diturunkan ke bot berkenaan dengan menggunakan kaedah ‘fast roping’ daripada helikopter.

Menurutnya, kedua-dua bot itu cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran kapal ronda TLDM, KD Pahang yang menghampiri kawasan mereka ketika sedang melakukan aktiviti haram itu.

“Berdasarkan pemerhatian dan rakaman video oleh krew helikopter Fennec, awak-awak bot nelayan asing itu dilihat berusaha memotong tali pukat bagi memudahkan mereka melarikan diri ke arah Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), sekaligus mengelak tindakan daripada pihak berkuasa.

“Selepas hampir 30 minit dikejar, kedua-dua bot berjaya ditahan oleh KD Pahang menggunakan pasukan PASKAL yang diturunkan ke bot itu melalui kaedah ‘fast roping’ atau turun menggunakan tali dari helikopter,” katanya dalam kenyataan itu.

Jurucakap itu menjelaskan, operasi yang diketuai Pegawai Geledah KD Pahang, Leftenan Abdul Hannan Abdul Rafar itu berjaya menahan tekong dan awak-awak bot itu dan pemeriksaan lanjut mendapati semuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Malah, bot itu juga didapati menceroboh perairan negara dengan melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran.

“Kita sudah menyerahkan bot terbabit kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media memberitahu, sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi mengatasi masalah nelayan warga Vietnam yang menceroboh perairan negara untuk menangkap hasil laut.

Antara yang akan terlibat dalam menggerakkan pasukan khas itu ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), TLDM, Kementerian Luar Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

Menurut Muhyiddin, kewujudan pasukan khas itu diharap dapat menyelesaikan masalah yang berlaku sekaligus mengembalikan hasil laut negara kepada nelayan tempatan. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/24/kerajaan-tubuh-pasukan-khas-hapus-nelayan-asing/