KUALA LUMPUR – Sebulan yang lalu, pelakon Ain Edruce telah dirisik oleh keluarga kekasihnya dan bakal mengikat tali pertunangan pada 22 Jun nanti.
Memandangkan bulan Jun bakal tiba beberapa hari sahaja lagi, nampaknya Ain terpaksa mengorbankan persiapannya menyambut Syawal.
Ain kini lebih memberi tumpuan kepada persiapan majlis pertunangannya tidak lama lagi.
“Tahun ini saya tak buat persiapan raya sangat,sebaliknya lebih beri tumpuan pada persiapan majlis pertunangan yang akan diadakan pada 22 Jun ini.
“Walaupun majlis tunang, tapi persiapannya boleh jadi agak rumit. Saya buat majlis kecil-kecilan sahaja dengan menjemput ahli keluarga dan rakan-rakan rapat,” katanya.
Nurulain Edruce turut mendedahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya Amirul, 26 pada Disember nanti.
“Pada awalnya memang kami rancang nak kahwin tahun depan, tapi bila fikir balik kenapa nak lambatkan benda baik.
“Setelah berbincang, kami sudah tetapkan majlis pernikahan diadakan pada Disember ini. Lokasi masih belum ditetapkan kerana kami masih mencari tempat yang sesuai.
“Buat masa ini, kami belum sempat pergi kursus kahwin disebabkan kesibukan kerja tapi saya rasa teruja nak pergi bersama-sama Amirul nanti,” katanya yang mula menjalin cinta dengan kekasihnya itu sejak setahun yang lalu. – MalaysiaGazette