Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak wajar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut dan cadangan sekatan itu perlu dikaji semula.

“Kita tidak ada apa-apa keputusan. Kita pun rasa bila masa kita berbincang (mengenai sekatan itu) PTPTN telah memberikan ruang dan peluang untuk anak-anak melanjutkan pengajian mereka namun ada juga segelintir tidak bayar balik.

“Kalau nak ‘rolling’ itu memanglah ada masalah tapi kalau nak buat sekatan-sekatan ini, tak wajar. Kita mesti kaji balik. Itu yang kita tentang dulu, kita protes dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama orang kelainan upaya (OKU) anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan dan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ummah Selangor, di sini, hari ini.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan sebelum ini dilaporkan berkata cadangan supaya PTPTN menguatkuasakan semula sekatan terhadap peminjam culas merupakan antara idea yang dikemukakan pihak berkaitan hasil daripada sesi libat urus dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast