KUALA LUMPUR – Tujuh selebriti wanita yang telah berkawan rapat selama 10 tahun hari ini meraikan ulang tahun persahabatan mereka dengan cara yang berbeza dan unik.
The Celepets yang terdiri daripada Sazzy Falak, Aisyah Sinclair, Atilia Haron, Daphne King, Dynas Mokhtar, Serena C dan Yasmin Hani menyambut ulang tahun persahabatan sedekad mereka dengan berbuka puasa bersama-sama dengan 14 ibu tunggal dan 30 anak yatim.
Sazzy ketika ditemui berkata, idea itu telah lama ingin dilaksanakan mereka bertujuh.
“Pada tahun lepas kita sudah rancang kena buat sesuatu mahu yang lain daripada yang lain. Pada mulanya kita semua tidak tahu apa nak buat,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Bukan hanya berbuka sekali malah kesemua mereka meluangkan masa bersama-sama anak-anak kurang bernasib baik untuk bermain di taman tema dalam kompleks terkemuka di ibu kota.
Dalam masa yang sama The Celepets juga melancarkan sebuah program khas untuk membantu golongan ibu tunggal untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Idea itu tercetus apabila mereka tidak mahu sekadar membantu dengan memberikan dana namun tiada usaha kesinambungan kepada kumpulan yang memerlukan.
Program itu dikenali sebagai The Power To Impower: Celepets Mentorship – memberi pendedahan kepada golongan ibu tunggal untuk aktif dalam perniagaan dan akhirnya berpotensi menjadi usahawan.
“Kita tidak mahu usaha setakat terhenti dengan mengumpul dana dan berikan kepada mereka (ibu tunggal). Mengapa mereka berada dalam keadaan itu, apa yang kita boleh tolong.
“Saya sedari mereka (ibu tunggal) tidak ada peluang seperti mana selebriti ada, kita boleh bayar yuran kursus untuk jadi usahawan. Mereka macam mana pulak. Sebab kita ada ramai kenalan, penaja,” katanya.
The Celepets melancarkan program tersebut dengan kerjasama Mompreneur Asia yang akan berjalan selama tiga bulan.
Seramai 10 ibu tunggal akan dipilih menerusi data Kindess Malaysia khusus dari yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai peserta bersandarkan cara undian.
Penaja program berkenaan adalah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). – MalaysiaGazette