Peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Syazlin Mansor. foto IQBAL BASRI, 14 MEI 2019

SHAH ALAM – Mahkamah Koroner hari ini dikejutkan dengan penarikan diri peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, Syazlin Mansor.

Bagaimanapun Syazlin tidak menjelaskan sebab penarikan dirinya kepada mahkamah sebentar tadi.

Sebaliknya, beliau berkata, keputusan itu dalam masa sama akan membatalkan saksi ke-29 daripada pihak mereka iaitu Profesor Dr Shahrom Abd Wahid, yang sepatutnya memberi keterangan kali kedua hari ini.

“Saya menarik diri daripada mewakili KPKT, pihak bomba dan keluarga Adib.

“Dengan penarikan diri saya percaya Prof Shahrom sebagai saksi pakar dalam kes ini turut terbatal,” katanya ringkas di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Dalam masa sama, peguam mewakili keluar Allahyarham Muhammad Adib, Ahmad Taufiq Baharom menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan sama ada  meneruskan inkues atau sebaliknya.

Mahkamah ditangguhkan beberapa minit sebelum Koroner membuat keputusan.

Inkues hari ini sepatutnya mendengar keterangan Shahrom untuk kali kedua selaku saksi pakar yang dirujuk peguam KPKT, JBPM dan keluarga Muhammad Adib.

Selepas sejam prosiding ditangguh, Koroner Rofiah Mohamad menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Jelasnya sebutan itu akan tiga perkara iaitu pengganti peguam mewakili KPKT dan JBPM termasuk keputusan sama ada memanggil semula Shahrom untuk memberi keterangan sekali lagi.

Selain itu pada tarikh tersebut juga mahkamah akan menentukan pakar fizik yang akan dipanggil sebagai saksi baharu bagi membantu mahkamah. 

Terdahulu Rofiah berkata wakil KPKT dan JBPM tidak boleh mengundurkan diri daripada prosiding tanpa peguam sehingga selesai inkues.

“Memandangkan pihak KPKT dan bomba merupakan pihak berkepentingan dalam kes in inkues tidak boleh diteruskan tanpa pengganti,” katanya.-MalaysiaGazette