KUALA LUMPUR – Bangsa Malaysia versi DAP akan menghakis Bahasa Melayu dan ia faktor ia perlu ditolak, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Naib Presiden UMNO itu memberitahu, kebimbangannya itu kerana DAP dilihat tidak pernah komited memperjuangkan bahasa kebangsaan.
“Lihat sahaja bagaimana DAP dicorakkan kerana tidak kedengaran pun DAP akan memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan malah kalau setakat menggunakannya dalam perhimpunan agung tahunan dengan seorang dua pengucapnya, adakah ia komitmen yang cukup untuk merealisasikan Bangsa Malaysia?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab kenaytaan Ahli Dewan Undangan Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusuf yang mempertikaikannya menolak konsep Bangsa Malaysia tetapi menerima konsep Bangsa Johor.
Mengenai Bangsa Johor, Mohamed Khaled berkata, ia merupakan slogan perpaduan yang bermula sejak zaman Sultan Sir Abu Bakar untuk menyatupadukan rakyat Johor.
“Ia bukan tentang kesaksamaan hak dan status. Ia adalah slogan untuk meraikan kepelbagaian Johor dan sesiapa jua yang tinggal, bermastautin di Johor, bernaung di bawah pemerintahan institusi Di-Raja Johor dan menyumbang kepada kemajuan serta pembangunannya – demikian adalah amat penting dalam membentuk Johor sebagai sebuah negeri yang berdaulat,” katanya.
Ia juga merupakan satu naratif antropologi dan sosiologi yang ampuh, yang secara langsung pada waktu itu, telah menghalang daripada anasir pemikiran penjajah merebak ke negeri itu.
“Bangsa Johor bukan sama sekali tentang berbahagi hak yang sama, bukan juga tentang berbahagi keistimewaan jika seseorang itu menetap di Johor,” katanya lagi.-MalaysiaGazette