Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia dijangka membuat pinjaman baharu dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) susulan pertemuan antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan presiden bank berkenaan, Takehiko Nakao.

Tindakan ini lanjutan daripada pinjaman menerusi Bon Samurai oleh kerajaan berjumlah kira-kira RM7 bilion baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pinjaman baharu itu akan menyebabkan Malaysia terpaksa menagih sekali lagi sumber pinjaman luar sehingga membebankan kewangan negara.

Sedangkan, katanya, pinjaman Kerajaan Persekutuan telah meningkat 1.8 peratus kepada RM131.6 bilion pada akhir tahun 2018 berbanding 2017.

“Sebanyak 59 peratus daripadanya digunakan untuk membayar semula hutang dan hanya baki 41 peratus untuk membiayai perbelanjaan membangun.

“Hutang Kerajaan Persekutuan juga secara tidak langsung terus menokok daripada RM686.6 bilion kepada RM741 bilion pada akhir tahun 2018.

“Meskipun ia masih di bawah paras statutori 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi sikap ketagihan hutang akan mengheret negara ke paras tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menyatakan, pada Suku Pertama 2019 pula, hutang semasa kerajaan terus meningkat kepada RM768.8 bilion.

Hal ini bermakna dalam tempoh tiga bulan sahaja, kerajaan telah menagih hutang sebanyak RM27.7 bilion menjadikan sasaran kerajaan untuk mencapai defisit pada paras 3.4 peratus akhir tahun 2019 kemungkinan besar tidak akan menjadi kenyataan.

“Persoalannya, adakah ini sebahagian daripada pelan tindakan penubuhan Debt Management Office (Pejabat Pengurusan Hutang) yang diketuai oleh Menteri Kewangan?

“Ironi, meskipun dikatakan pelbagai langkah telah diambil untuk mengurangkan peruntukan bagi projek mega dan beroleh berbilion penjimatan, namun pinjaman dan hutang tetap bertambah.

“Maka, apakah tujuan pinjaman khususnya dari luar negara dilakukan? Tidakkah ia akhirnya akan membebankan kewangan kerajaan?” ujar beliau.

Dr. Mohd Khairuddin mendesak agar pinjaman daripada “ah long” yang berasaskan riba itu tidak diteruskan kerana ia akan membebankan negara membangun seperti Malaysia, bukannya membantu.

Katanya, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai asas dalam Perlembagaan, sewajarnya kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak membesarkan lagi saiz pinjaman riba kerana ia hanya meletakkan negara dalam keadaan bahaya dengan beban hutang yang besar pada masa akan datang. – MalaysiaGazette