Intan Rahmah Ali
Intan Rahmah Ali

KUALA LUMPUR – Lambakan pekerja asing yang semakin kritikal di negara ini mendapat perhatian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang mahu kerajaan menanganinya secara serius.

Ketua Wiranitanya, Intan Rahmah Ali menegaskan, kebanjiran pekerja tanpa izin (PATI) secara tidak terkawal akan mendedahkan rakyat negara ini dengan masalah sosial dan penyakit berjangkit.

Jelas beliau, serbuan Jabatan Imigresen mendedahkan jumlah yang tinggi pekerja asing tanpa izin ditangkap, di samping kewujudan banyak penempatan haram secara tidak teratur.

“Isu ini bukan kerana dasar sifat benci kepada orang asing, tetapi atas dasar keselamatan rakyat tempatan kerana kebanyakan PATI tidak melalui saringan kesihatan dan ini akan mengakibatkan penyakit berjangkit mudah merebak.

“Realiti hari ini menunjukkan trend peningkatan warga asing sangat membimbangkan. Mereka mula menjalankan perniagaan tanpa lesen yang tentunya menjejaskan kegiatan ekonomi warga tempatan.

“Kebanjiran mereka juga menggugat keselamatan rakyat melalui pelbagai aktiviti jenayah yang tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Intan Rahmah berkata, sudah terang lagi bersuluh kemasukan PATI tanpa kawalan menyebabkan peningkatan kadar jenayah secara mendadak di negara ini.

Peningkatan jenayah itu juga melibatkan pekerja asing yang masuk ke negara ini, tetapi tidak mendapat pekerjaan dijanjikan, sedangkan mereka memerlukan wang untuk meneruskan hidup.

Seterusnya kata beliau, penguasa undang-undang harus dilakukan lebih tegas, bukan sekadar melepaskan batok di tangga.

“Ini kerana ramai pekerja asing yang menyusup masuk secara haram melalui jalan laut. Jika semua pihak memainkan tanggungjawab secara berkesan, tidak mustahil masalah kemasukan PATI dapat diatasi dari akar umbinya.

“Tindakan lebih cekap perlu dilakukan bagi memastikan penempatan pekerja asing berada pada lokasi dan kondisi yang baik dan tidak mengganggu kesejahteraan rakyat tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha membanteras PATI perlu digiatkan secara besar-besaran agar kedaulatan negara terus terpelihara dan hak ekonomi serta keselamatan rakyat terbela.

Ini penting bagi memastikan implikasi negatif akibat kemasukan PATI secara berleluasa ke negara ini dapat diatasi melalui pelbagai langkah yang dirancang dan diimplementasikan secara bijak dan berkesan. – MalaysiaGazette