Sanchez membintangi filem Mi Amigo Alexis.

LONDON – Penyerang Alexis Sanchez mungkin tidak bertuah kerana telah melalui waktu yang sukar dalam dua musim pertamanya di Manchester United.

Namun pemain antarabangsa Chile itu kini berharap dia akan lebih berjaya dalam debut filemnya.

Sanchez membintangi filem Mi Amigo Alexis yang mula dilancarkan di negara asalnya, Chile semalam.

Penerbit eksekutif filem berkenaan, Rocio Jadue memberitahu BBC Sport, filem itu adalah idea asal Sanchez dan penggambaran telah mula dijalankan pada tahun lalu.

“Semua orang sukakan dia (di Chile), ” kata Jadue.

“Sanchez merupalan seorang pahlawan besar.”

Filem berkenaan diarahkan oleh bekas pemenang pengarah terbaik Alejandro Fernandez Almendras.

Ia bukan filem bergenre biopik tetapi filem yang menceritakan kisah seorang remaja bernama Tito yang berusia 12 tahun yang secara tidak sengaja bertemu dengan idolanya Sanchez.

“Persahabatan yang tidak dijangka antara anak muda itu dan idolanya membawa erti untuk kedua-duanya.

“Tito menemui jalan yang sebenar dalam hidupnya dan Alexis disatukan kembali dengan cerita-cerita dari zaman kanak-kanaknya yang membuatkannya teringat sebab mengapa dia suka bola sepak.” – MalaysiaGazette