Hee Loy Sian
Hee Loy Sian

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor meluluskan cadangan pelaksanaan kempen hindari penggunaan plastik sekali guna di semua jabatan dan agensi kerajaan di negeri itu berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, keputusan itu sejajar dengan Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-use Plastics 2018-2030 yang diluluskan Jemaah Menteri pada 29 Mei lalu.

Katanya, pelaksanaan kempen itu merangkumi bangunan pentadbiran kerajaan negeri (SUK) dan semua jabatan dan agensi termasuk Pejabat Tanah dan Daerah, Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan anak-anak Syarikat di bawah pentadbiran kerajaan Selangor.

“Kempen ini bertujuan menangani masalah alam sekitar khususnya berpunca dari pencemaran yang disebabkan penggunaan barangan plastik sekali guna bagi mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat.

“Ia juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna khususnya beg plastik dan polistirena,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sehubungan itu, semua jabatan dan agensi bawah pentadbiran Selangor akan mengikuti panduan menghindari penggunaan plastik sekali guna seperti berikut:

(a) Menggantikan botol minuman plastik (sekali guna) dengan botol kaca atau menyediakan jag air;

(b) Menggantikan pembalut plastik di piring, pinggan, mangkuk dengan penutup makanan yang boleh diguna semula;

(c) Tidak menyediakan piring, pinggan, mangkuk, cawan, kutleri bersifat sekali guna serta mengelakkan penggunaan penyedut plastik; dan

(d) Menyediakan water dispenser untuk kemudahan isian semula.

Menurut Loy Sian, semua pegawai bertugas dan orang awam yang berurusan di bangunan jabatan kerajaan negeri digalakkan membawa bekas makanan, sudu, garpu dan penyedut minuman yang boleh diguna semula untuk kegunaan peribadi.

Katanya, mereka juga perlu menggunakan beg woven atau beg khas yang boleh diguna semula ketika membeli makanan dan minuman di kafeteria.

Kerajaan Selangor melalui portfolionya akan mengatur strategi dan usaha seperti menguar-uarkan amalan tersebut melalui semua platform komunikasi melibatkan media sosial, menyediakan bahan promosi berbentuk infografik, video dan sebagainya bagi menjayakan kempen itu.

Kerajaan negeri juga katanya, menggalakkan badan swasta, sekolah, rumah ibadat dan badan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam kempen itu.

“Kita harap kempen ini dapat dilaksanakan di semua tempat dan melibatkan seluruh rakyat Selangor agar mencapai tujuan pengurangan, sekali gus  menghentikan penggunaan plastik sekali guna suatu hari nanti,” katanya. – MalaysiaGazette