KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini didakwa mengarahkan peniaga yang menjalankan aktiviti berniaga pasar malam di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini supaya menutup perniagaan masing-masing.

Langkah itu diambil oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan secara tegas dengan mengeluarkan arahan bahawa mereka hanya boleh berbuat demikian pada hari Sabtu sahaja.

Pasar malam tersebut yang sinonim dengan warga kota sememangnya beroperasi pada hari Sabtu.

Hari ini, tular di laman sosial dan aplikasi Whatsapp sekumpulan penguatkuasa DBKL menurunkan khemah yang dipasang oleh peniaga pasar malam berkenaan.

Tindakan penguat kuasa DBKL itu dikawal oleh sepasukan anggota polis berpakaian preman dipercayai sebagai mengawal keselamatan penguatkuasa PBT tersebut daripada kacau ganggu atau sebarang perkara yang tidak diingini.

Difahamkan, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad ada memberi reaksi segera terhadap perkara itu dengan meminta para peniaga terbabit merujuk kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur sekiranya tidak berpuas hati.

Gambar Khalid bertemu dengan peniaga-peniaga terbabit turut dikongsikan netizen. – MalaysiaGazette