Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyempaikan cenderamata kepada pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Ops Selamat Balik Kampung Perayaan Aidilfitri 2019 di Perkarangan Tempat Letak Kereta Plaza Tol Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 03 JUN 2019

GOMBAK – Polis mengesahkan sudah mengetahui kedudukan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang sangat dikehendaki oleh pihak berkuasa negara ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador meminta agar pihak-pihak tertentu yang sememangnya mengharapkan ahli perniagaan tersebut ditangkap supaya bersabar.

“Sabarlah, macam mana kita sabar menunggu waktu berbuka. Kita kena sabarlah untuk seterusnya,” katanya ringkas kepada media ketika ditemui selepas menghadiri Kempen Balik Kampung Op Selamat 15 di Plaza Tol Gombak arah timur di sini hari ini.

Rabu lalu Abdul Hamid mengumumkan polis mempunyai petunjuk positif mengenai keberadaan Jho Low yang dikehendaki bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

Abdul Hamid pada Sabtu pula membuat penafian bahawa pihak berkuasa berjaya menangkap Jho Low dalam satu serbuan di China dan akan dihantar pulang ke Malaysia.

Jho Low dikehendaki pihak berkuasa Malaysia berkaitan skandal 1MDB dan dipercayai bersembunyi di Macau.

Beliau juga dipercayai melarikan diri ke China tetapi pegawai negara itu menafikan dakwaan berkenaan tahun lalu.

Jho Low diburu pihak berkuasa beberapa negara untuk membantu siasatan ke atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang membabitkan dana 1MDB. – MalaysiaGazette