SHAH ALAM – Kerja-kerja membaiki paip utama berdiameter 1,800 milimeter yang pecah di Setia Alam di sini semalam, selesai pada kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Raof Ahmad berkata bekalan air telah dibuka sejurus selepas kerja membaiki paip berkenaan selesai dan kawasan yang terjejas dijangka pulih secara berperingkat.

“Pihak kami kini sedang menumpukan fokus bagi meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan air ke sistem agihan bagi mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Raof berkata bantuan bekalan air menerusi lori tangki masih diteruskan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya selain pengaktifan lima buah Pusat Khidmat Setempat dan tiga buah pili air awam.

Beliau berkata status terkini mengenai gangguan bekalan air tidak berjadual itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan pengguna boleh merujuk laman sesawang www.syabas.com.my atau menerusi aplikasi Air Selangor di telefon bimbit serta laman Facebook agensi itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.– BERNAMA