Sumber Facebook.

SHAH ALAM – Kerajaan sedang mengkaji platform kecerdasan buatan (AI) dari China, DeepSeek terhadap Malaysia sebelum chatbot itu boleh disesuaikan untuk kegunaan tempatan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kerajaan memberikan perhatian serius terhadap DeepSeek dan modelnya bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan pesat landskap AI.

DeepSeek mendapat perhatian pantas dan model AI itu dikatakan menandingi atau melebihi keupayaan platform yang telah mantap seperti ChatGPT OpenAI.

“Sebelum ini, kita telah menyaksikan kemunculan ChatGPT dan banyak lagi perkembangan lain dalam dunia AI, dan ini adalah sesuatu yang berterusan. Kita akan melihat kemunculan banyak lagi produk seiring dengan masa.

“Oleh itu, saya berpendapat ini adalah sesuatu yang perlu kita kaji dan akhirnya perlu melihat bagaimana kita juga boleh menyesuaikan diri dengan teknologi ini pada masa depan,” demikian menurut laporan FMT.

Gobind menyatakan demikian selepas menghadiri sesi taklimat mengenai sistem pengurusan digital kuil di Kuil Arulmigu Sri Maha Mariamman Thirukkovil di sini hari ini.

Pada 29 Januari lalu, Agensi Anadolu (AA) melaporkan chatbot AI DeepSeek China telah mendapat tarikan pantas di peringkat global, menyaingi ChatGPT walaupun beroperasi dengan sumber yang lebih kecil.

Selain itu, ia telah mengetepikan model terdahulu di beberapa kawasan termasuk Amerika Syarikat, dengan menonjolkan keberkesanan kos dan kecekapannya.

Kebangkitan DeepSeek telah mencetuskan perbincangan dalam industri teknologi berikutan ia beroperasi dengan sebahagian kecil daripada sumber yang digunakan pesaingnya.

Prestasi DeepSeek terhadap peneraju industri seperti Google dan OpenAI telah menjejaskan saham teknologi utama khususnya dalam sektor semikonduktor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast