KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin terhadap pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dijadual didengar di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya esok meskipun mereka telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menggantung prosiding tersebut.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf memfailkan notis usul bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen minggu lalu yang memerintahkan perbicaraan dimulakan selepas menolak penangguhan yang dipohon pasangan itu.
Mereka memohon prosiding digantung sementara menunggu permohonan bagi membatalkan pertuduhan, didengar dan diputuskan terlebih dahulu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan itu ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini memaklumkan, setakat ini pihaknya belum menerima makluman dari Mahkamah Tinggi berkaitan pendengaran permohonan penangguhan kes.
“Berdasarkan rekod, kes `jalan’ esok. Kami sudah menerima senarai nama 32 saksi pendakwaan yang dijadual memberi keterangan. Bergantung kepada apa-apa arahan mahkamah esok, kami bersedia untuk perbicaraan,” ujarnya.
Sebelum ini, mahkamah diberitahu, seramai 15 individu akan dipanggil sebagai saksi pada perbicaraan terhadap pasangan itu yang ditetapkan selama 15 hari sehingga Mac ini.
Tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan ialah pada 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac ini.
Pada prosiding 28 Januari lalu, Hakim Dr. Syahliza Warnoh memerintahkan perbicaraan dimulakan meskipun pasangan itu sedang menunggu tarikh pendengaran permohonan untuk membatalkan pertuduhan mengabai anak mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Pengurusan kes bagi permohonan itu telah ditetapkan pada Selasa ini (4 Februari) dan pendengarannya dijangka mengambil masa sementara menunggu pemfailan afidavit dan penyediaan penghujahan.
Syahliza menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan selepas berpendapat setakat ini, permohonan pembatalan pertuduhan belum didengar dan tiada keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi.
Pada prosiding itu juga, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian memaklumkan, meskipun tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan, pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes.
Isu mengenai penangguhan kes dibangkitkan oleh pasukan pembelaan atas alasan jika perbicaraan diteruskan (sebelum permohonan pembatalan pertuduhan didengar), ia akan memprejudiskan anak guam mereka.
“Atas alasan itu, kami memohon tarikh-tarikh perbicaraan dilapangkan sementara menunggu pelupusan notis usul di Mahkamah Tinggi berkaitan pertuduhan yang dihadapi oleh kedua-dua tertuduh,” ujar Haresh.
Pada 21 Januari lalu, Zaim Ikhwan, 30, dan Ismanira, 30, memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dalam usaha mendapat perintah agar mereka dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Minggu lalu mereka memfailkan permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen menolak penggantungan perbicaraan.
Pasangan itu memberi alasan, perbicaraan tersebut merugikan mereka dan tidak wajar didengar serentak dengan permohonan pembatalan pertuduhan di Mahkamah Tinggi.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. – MalaysiaGazette
















