KUALA LUMPUR – Sebuah portal Rusia melaporkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menimang cahaya mata lelaki hasil perkahwinannya dengan bekas bintang realiti dan ratu cantik Rusia, Oksana Voevodina pada 21 Mei lepas.

Media itu mendakwa Oksana sendiri telah memuat naik berita tersebut di laman sosial Instagram baru-baru ini sambil melahirkan rasa teruja.

Portal Hand of Moscow itu, Oksana melahirkan rasa penghargaannya kerana baginda telah memilih dirinya sebagai suri hidup dan bayi lelaki ini telah melengkapkan kehidupannya.

“Saya cukup menghargai dan berterima kasih kepada suami saya dengan kehadiran bayi kami. Kini kami sudah bertiga. Terima kasih kerana memilih kami untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Tuanku,” tulisnya dalam Instagram.

Sebelum ini, portal be­rita berpusat di United Kingdom, Daily Mail melaporkan Voevodina telah memeluk agama Islam pada awal tahun lalu sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Sultan Muhammad V pada 22 November lalu.

Voevodina yang menggunakan nama Islam Rihana pernah merangkul gelaran Miss Moscow pada tahun 2015 selain turut bekerja sebagai model peragaan di China dan Thailand.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi berhubung perkahwinan Sultan Muhammad V dikeluarkan oleh mana-mana pihak istana dan ia masih menjadi teka-teki sehingga ke hari ini.

Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 24 April 2017 pada 13 Disember 2016 sebelum meletakan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lepas.

Baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat Majlis Raja-raja ke-243 (Khas) pada Oktober 2016, yang turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Muhammad V menggantikan Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 12 Disember 2016.

Mac lepas, sebanyak 10 keping gambar perkahwinan yang memaparkan imej Sultan Muhammad V kembali tersebar di platform media sosial, Instagram selepas ia dimuat naik oleh seorang jurugambar Rusia, Maxkoliberdin semalam.

Gambar perkahwinan itu antara lain turut me­maparkan Sultan Muhammad V yang mengenakan sepasang baju Melayu berwarna biru sedang memotong kek bersama bekas Ratu Cantik Rusia, Oksana Voevodina.

Selain gambar memotong kek, jurugambar Rusia itu turut memuat naik beberapa keping gambar lain antaranya memaparkan aksi berpegangan tangan antara Sultan Muhammad V dan Voevodina selain potret bekas Yang di-Pertuan Agong itu sendiri.

Sehingga kini, belum ada apa-apa berita rasmi yang mengesahkan laporan berhubung kelahiran ini. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast