hatrik Ronaldo berjaya membantu Portugal menewaskan Switzerland dan mara ke perlawanan akhir Liga Kebangsaan

PORTO – Jaringan hatrik Cristiano Ronaldo membantu Portugal mara ke perlawanan akhir Nation League.

Dalam aksi awal pagi tadi, Portugal menjinakkan Switzerland 3-1 di Estadio do Dragao.

Pengurus pasukan Fernando Santos menyifatkan Ronaldo sebagai ‘genius’ berikutan aksi luar biasa pemain itu.

Pemain Juventus berusia 34 tahun itu meletakkan tuan rumah di hadapan daripada sepakan percuma.

Bagaimanapun Switzerland bangkit menyamakan kedudukan 1-1 pada separuh masa kedua.

Gol itu dihasilkan oleh Rocardo Rodriguez menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan menerusi keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas Nelson Semedo menerjah keras Steven Zuber dalam kotak penalti.

Keputusan itu serba sedikit menjejaskan rentak perlawanan Portugal sehingga 90 minit yang menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Ronaldo sekali lagi mengubah keputusan apabila meledakkan dua gol bagi mengesahkan kemenangan Portugal.

Santos menegaskan beliau tahu kemahiran yang dimiliki Ronaldo sejak melatih pemain itu di Sporting Lisbon.

“Saya menjadi jurulatih dia pada tahun 2003 dan memantau setiap kemahiran dia atas padang dalam setiap perlawanan dan kini dia menjadi genius bola sepak.

“Menjaringkan hatrik bukan suatu yang baharu untuk Ronaldo,” katanya. – MalaysiaGazette